loading...

Sunday, November 13, 2011

Rentung Dalam Kemalangan



November 13, 2011: KUANTAN - “Kami tidak sempat membantu mangsa kerana berlari mendapatkan pertolongan dari jiran setempat,” kata seorang penduduk, Ahmad Mat, 50, yang sempat melihat sebuah kereta melekat pada sebatang pokok sebelum meletup dan terbakar dalam kejadian di Kampung Gelugor dekat Gambang, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 1 petang, dia sedang berehat di rumah, manakala isterinya, Azura Jaafar pula memasak di dapur.

“Tiba-tiba kami terdengar dentuman kuat dan nampak pokok bergoyang. Sebaik keluar dari rumah, kami dapati sebuah kereta sudah melekat di bahagian batang pokok dan sebelah tangan mangsa terkulai,” katanya.

Ahmad berkata, tanpa berlengah dia segera berlari mendapatkan bantuan beberapa jiran, namun mereka tidak dapat mendekati kenderaan itu yang tiba-tiba terbakar.

Katanya, dia dan isteri hanya beristighfar serta menggigil ketakutan melihat keadaan kenderaan yang terbakar kira-kira 100 meter dari rumah mereka dan memikirkan mangsa yang berada di dalamnya.

Pegawai Operasi Balai Bomba Taman Tas, Zurin Mamat berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 2.14 petang dan berjaya memadamkan kebakaran setengah jam kemudian.
Menurutnya, dua mayat rentung lelaki dan wanita berjaya dikeluarkan, tetapi tiada sebarang pengenalan diri.

“Kami mengeluarkan mayat seorang lelaki di bahagian tempat duduk penumpang dan seorang wanita selepas berjaya memadamkan kebakaran pada kenderaan itu,” katanya.

Sementara itu jurucakap polis mengesahkan kejadian itu, namun memberitahu identiti mangsa belum dapat dikenal pasti.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my