loading...

Monday, June 6, 2011

Nasib Seorang Lans Koperal


TEMERLOH – Seorang bekas anggota polis berpangkat lans koperal kini hanya mampu terlantar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya semasa bertugas sebagai polis pengiring di Kuala Kerai, Kelantan, lima tahun lalu.

Zainuddin Mohd Dain, 45, yang mempunyai tiga anak kini dijaga ibu bapanya dan menetap di Kampung Desa Baru Purun, di sini, sejak kejadian kemalangan itu.

Menurutnya, kemalangan yang berlaku pada petang 3 Oktober 2006 semasa dia sedang bertugas mengiring Tengku Mahkota Kelantan ke satu majlis, mengubah terus kehidupannya.

Menceritakan kembali kejadian itu, Zainuddin berkata, semasa menunggang motosikal untuk menyambut ketibaan Tengku Mahkota ke satu majlis berbuka puasa, tiba di satu selekoh, dia gagal mengawal motosikal lalu jatuh.

“Saya tidak sedar. Menurut cerita kawan-kawan, saya terbaring di atas jalan raya dan apabila dibawa ke hospital, doktor sahkan saya mengalami kecederaan pada saraf tunjang menyebabkan saya lumpuh.

“Kini, saya hanya terlantar dan cuma mampu menggerakkan kepala, manakala untuk ke bilik air dan makan, ibulah yang banyak membantu saya,” katanya.

Zainuddin berkata, semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau baru-baru ini, dia bersyukur kerana menerima sumbangan katil daripada pemimpin setempat namun masih mengharapkan kerajaan membantunya mendapatkan bayaran pencen lebih banyak.

“Disebabkan bersara awal, saya tidak dapat wang pencen penuh, malah kurang daripada separuh. Kalau boleh, dalam keadaan begini, saya harap dapat menerima pencen lebih daripada apa yang saya dapat sekarang.

“Saya juga merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan bulanan kepada ibu kerana dia yang menjaga saya selama ini,” katanya.

Zainuddin turut merayu kepada orang ramai yang simpati dengan nasibnya supaya dapat menghulurkan sumbangan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di akaun 03200-29-87092482-4 atau berhubung dengan ibunya di talian 014-8052329

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my