loading...

Thursday, June 9, 2011

Buruh Indonesia Maut Dirempuh Treler


PONDOK LIMAU – Hasrat seorang buruh warga Indonesia untuk pulang ke rumah selepas mengerah keringat di ladang sawit berakhir tragedi apabila dia terbunuh dalam satu nahas membabitkan motosikal dengan sebuah treler, dekat sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang di Kilometer 108 Jalan Jerangau-Jabor berdekatan kuari Pondok Limau itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dirempuh sebuah treler yang memotong sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.

Ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Abdullah, 40, difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Pergam, Hulu Jabur selepas selesai melakukan kerja di Ladang Felda Kerteh.

Akibat kemalangan terbabit, bahagian hadapan treler yang dipandu Sukarno Abdul Rahman, 38, dari Bukit Diman serta motosikal bersama mangsa yang terperosok bawah treler berkenaan terbakar.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Treler yang turut merintangi jalan itu kemudiannya dirempuh pula sebuah treler lain menyebabkan pemandunya, V Gunalan dari Puchong, Selangor cedera pada bahagian muka.

Sebuah jentera bersama sepasukan anggota dari Balai Bomba Al-Muktafi Billah Shah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk disahkan punca kematian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kes masih dalam siasatan pihaknya.

1 comment:

  1. “Susu anak yang ditunggu rupanya jenazah saya terima,” kata Fazilah Saaman, 19, selepas suaminya terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 108, Jalan Jerangau-Jabur berhampiran kuari Pondok Limau. suaminya, Abdullah, 40, bekerja di ladang sawit Felda Kerteh dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Pergam, Hulu Jabur, Kemaman untuk membawa susu dipesan isterinya.

    Fazilah dari Sungai Pergam, Kemaman berkahwin dengan suaminya berasal dari Lombok Tengah, sejak tiga tahun lalu dan dikurniakan seorang anak berusia 20 bulan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my