loading...

Wednesday, February 26, 2014

Pelajar Maut Digilis Bas Sekolah


Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Februari 2014
Kuantan: “Kami berlari ke arah bas kerana mahu mendapat tempat duduk dan ketika itu saya melihat Adam terjatuh dan digilis,” kata rakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu, dekat sini, yang maut digilis bas sekolah petang kelmarin.


Dalam kejadian jam 3 petang itu, Adam Daniel Abdullah, 13, meninggal dunia selepas parah di kepala dan anggota badan akibat digilis kenderaan terbabit.


Rakannya yang mahu dikenali sebagai Rafi, 13, berkata, sebelum kejadian, dia bersama Adam menunggu bas untuk pulang ke rumah masing-masing di Taman Semambu di sini.

“Melihat bas sekolah tiba, kami dan beberapa pelajar lain berlari ke arah bas yang ketika itu masih belum berhenti sepenuhnya kerana mahu mendapat tempat duduk dan tidak perlu berdiri sepanjang perjalanan.


“Ketika berpusu-pusu ke arah bas berkenaan, Adam tiba-tiba terjatuh berhampiran bas lalu digilis di depan mata saya,” katanya di sini, semalam.


Dia berkata, beberapa pelajar lain yang melihat kejadian itu memanggil guru untuk menarik mangsa keluar dari bawah bas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba beberapa minit kemudian.

“Saya sentiasa terbayang kejadian berkenaan kerana dia rakan yang mati di depan mata hanya kerana kami berebut mahukan tempat duduk,” katanya.


Pegawai Penguat Kuasa Tadbir danTrafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, ketika melihat bas sampai di depan sekolah, kumpulan pelajar itu berpusu-pusu.


Nenek sugul teringat arwah

Sementara itu, nenek Adam Daniel masih sugul dan terkejut dengan kejadian yang menimpa cucunya itu.

Lebih menyedihkan, Ana Musa, 57, yang menghidapi angin ahmar masih tidak boleh bercakap kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.

Dia juga tidak memberi sebarang komen, malah hanya duduk dan banyak termenung.

Ibu saudara mangsa, Norhidayu Nordin, 30, berkata, insiden itu benar-benar mengejutkan mereka sekeluarga, malah tidak terlintas anak saudara yang dijaga sejak umur setahun menemui ajal dalam situasi tragis.

Menurutnya, ketika pihak sekolah menghubunginya, mereka sekeluarga dimaklumkan Allahyarham sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), tetapi panggilan kedua kira-kira jam 3 petang benar-benar mengejutkan kerana diberitahu Adam sudah pergi buat selamanya.

“Ketika menerima panggilan, saya sangat terkejut kerana kami semua sedang bergegas untuk ke HTAA,” katanya ketika lawatan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Semambu, Datuk Mohd Nazrul Mohd Arsad di rumahnya di RRM Lorong Semambu 12.

Bagaimanapun, pemergian Adam tidak dimaklumkan kepada neneknya kerana bimbang dia terkejut, tambahan pula kesihatannya tidak  begitu baik.

Norhidayu berkata, beberapa hari sebelum meninggal, Adam lebih banyak tersenyum dan sering bergurau dengan sepupu-sepupunya.

Menurutnya, hubungan Adam dan ibunya sangat rapat kerana mereka mengambil alih tugas menjaga pelajar itu sejak umur setahun selepas kedua ibu bapanya berpisah.

“Kami sangat sedih dengan pemergiannya kerana Allahyarham seorang yang peramah dan periang, malah turut disenangi ahli keluarga lain dan menjadi cucu paling rapat dengan neneknya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Adam dikebumikan jam 10 malam kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Setali.

Mesyuarat cari penyelesaian

Pengetua SMK Semambu, Leow Kim Hin berkata, pihaknya akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat dan menilai semula kaedah terbaik menyelesaikan masalah berkaitan keselamatan pelajar terutama kemudahan bas.

Katanya, beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.45 petang selepas selesai sesi pembelajaran.

“Kita dimaklumkan, ketika kejadian ramai pelajar yang mahu menaiki bas dan Adam dikatakan terjatuh sebelum kemalangan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nazrul melahirkan rasa simpati dan menyifatkan kejadian itu amat menyedihkan apatah lagi berlaku di kawasan sekolah.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pengurusan sekolah supaya menyediakan  tempat menunggu bas khas di kawasan berkenaan untuk pelajar bagi memastikan aspek keselamatan mereka terjamin.

Katanya, tragedi itu perlu menjadi pengajaran kepada semua termasuk ahli PIBG dan kerjasama ibu bapa perlu bagi mengingatkan anak-anak supaya sentiasa sabar dan berdisiplin bagi elak kejadian berulang.

Mohd Nazrul turut mencadangkan pihak sekolah meletakkan guru untuk memantau pelajar pada waktu kritikal.

“Walaupun sudah ada pengawal tetapi perlu ada guru yang memerhati untuk memantau pelajar ketika waktu pulang sekolah,” katanya.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, berdasarkan maklumat daripada pengetua sekolah terbabit, kejadian dipercayai berlaku ketika pelajar keluar selepas selesai waktu persekolahan.

Menurutnya, mangsa bersama beberapa pelajar lain dipercayai berlari ke arah bas sekolah yang mereka akan naiki untuk pulang ke rumah.

“Semasa berebut untuk menaiki bas, mangsa dipercayai terjatuh ketika bas sedang bergerak sebelum digilis tayar bas terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Jasmani berkata, semasa kejadian bas sekolah tersebut dipercayai masih bergerak ketika pemandu sedang mencari tempat sesuai untuk berhenti, manakala pintunya juga masih belum dibuka.

“Polis menahan pemandu bas berusia 45 tahun untuk diambil keterangan dan menjalani ujian saringan air kencing.

“Mayat pelajar terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ajalberebuttempatduduk/Article/index_html
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/pelajar-maut-digilis-bas-sekolah-1.254682



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my