loading...

Friday, February 28, 2014

Pegawai Imigresen Maut




Inalillahi wainailaihi rojiun

28 Februari 2014
KANGAR: Seorang pegawai Imigresen yang juga penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR 1000RR, Mohd Anis Amran,34, maut selepas mangsa merempuh sebuah kereta jenis Perodua Kembara di Jalan Kangar-Arau dekat Repoh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa dalam perjalanan ke Kangar dari Arau sebelum merempuh bahagian hadapan kereta tersebut yang membuat pusingan 'U' di simpang masuk ke Taman Repoh di sini.
Mangsa maut di tempat kejadian akibat kederaan parah di kepala akibat terhumban ke atas jalan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat.

Arwah yang tinggal di Sungai Batu Pahat, Jalan Abi di sini mempunyai seorang cahaya mata perempuan Aisyah Humairah, 7, dan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menyertai rakan-rakan motosikalnya di Dataran Datuk Syeikh Ahmad di sini.

Menurut rakan mangsa, Ahmad Sirajudin Md Zain, 35, sebelum kejadian dia dan mangsa mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Jejawi, dekat sini untuk meneruskan perjalanan bagi menyertai Perlis Bike Festival 2014 di Kangar.

Katanya, apabila sampai di hadapan Taman Repoh mangsa gagal mengelak lalu merempuh kenderaan yang sedang membuat pusingan U.

“Kejadian berlaku terlalu cepat, saya lihat dia terpelanting selepas merempuh kereta tersebut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.



Seorang lagi rakannya yang enggan dikenali berkata, sehari sebelum kejadian, mangsa mengemas kini status di Facebooknya seolah-olah dia mahu pergi selamanya.

Dalam status tersebut arwah menulis, 'Hari ini aku boleh mandi sendiri, mungkin esok orang lain yang akan memandikan aku. Hari ini aku bahagia bersama orang disekelilingku, mungkin esok aku akan bersendirian di sana. Andai kata hari ini hari terakhir aku hidup di dunia, ampunkanlah salah dan silap aku sepanjang perkenalan kita. Sekiranya aku pergi, sedekahkanlah Al-Fatihah sebagai tanda kau merinduiku'.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam, mangsa dipercayai dari rumahnya di Batu 2 ½ Jalan Batu Pahat dalam perjalanan ke Kangar.

Katanya, pemandu kereta yang berusia 70 tahun yang dalam perjalanan ke rumahnya di Repoh tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Keterangan pemandu tersebut telah diambil dan polis akan menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pegawaimautrempuhkereta/MA/Article/index_html
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-rempuh-kereta-buat-pusingan-u-1.255869



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my