Monday, November 25, 2013

Staf klinik kesihatan maut langgar lari



Inalillahi wainailaihi rojiun

26 November 2013
KUALA KURAU - Hajat seorang kakitangan Klinik Kesihatan Kuala Kurau untuk memakan mi segera bagi mengisi perutnya yang lapar tidak kesampaian selepas dia terbabit dalam kemalangan ngeri di Batu 7, Jalan Kuala Kurau, di sini, semalam.

Mangsa, Khairul Nizam Wahi Nordin, 34, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran maut di tempat kejadian setelah motosikal Honda Wave ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah Simpang Lima menghala ke Kuala Kurau.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, ketika kejadian pada jam 1.25 pagi itu, mangsa yang tinggal di Taman Mutiara Pelangi, Parit Buntar difahamkan dalam perjalanan ke Batu 7 di sini untuk membeli mi segera di sebuah kedai serbaneka 24 jam.

“Mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Kuala Kurau ke Batu Lima sebelum dilanggar oleh sebuah kereta yang masuk ke laluan bertentangan.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan digilis sebuah kenderaan lain, menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

“Manakala motosikal mangsa diseret sejauh lebih 60 meter oleh kereta yang melanggarnya sebelum terbabas dan jatuh ke dalam parit berhampiran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mat Fauzi berkata, pemandu kereta Proton Wira terbabit sehingga kini tidak dapat dikesan dan dipercayai melarikan diri sebaik sahaja kenderaan itu terjunam ke dalam parit.

“Polis masih berusaha mengesan pemilik kenderaan itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, sahabat karib mangsa, Mohd Radzi Said, 43, berkata, sebelum kejadian, mangsa singgah di kedai runcitnya untuk membeli sebungkus mi segera, namun kehabisan stok.

Menurutnya, mangsa sempat berbual-bual dengannya dan empat rakan lain, malah turut berpesan kepada mereka supaya sentiasa menjaga hati kawan-kawan sebelum beredar.

“Saya tidak menyangka pesanan ‘Jangan lupa kawan-kawan’ yang disampaikan arwah kepada saya merupakan pesanan terakhir sebelum arwah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

“Sepanjang hidupnya, arwah seorang yang baik dan sentiasa membantu rakan-rakan memerlukan,” katanya.

Mangsa meninggalkan seorang isteri, Nani Hasnor, 34, dan dua anak.

Sinar Harian difahamkan, mangsa sempat menikmati makan malam bersama keluarga sebelum keluar menemui rakan-rakan pada malam kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/staf-klinik-kesihatan-maut-1.224460
http://www.peraknews.com/berita-negeri/11637-hasrat-nikmati-mee-segera-tidak-kesampaian



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount