Monday, September 23, 2013

Tak sempat belanja keluarga makan ikan bakar


Inalillahi wainailaihi rojiun

23 September 2013
BUKIT KATIL - Hajat pembantu tukang masak belanja ahli keluarganya makan ikan bakar setelah mendapat gaji pertama hujung bulan ini tidak kesampaian apabila maut di Jalan Kampung Duyong/Bukit Katil, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Muhammad Saiful Mohd Rawi, 22, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Bemban selepas tamat waktu bekerja di sebuah hotel di Jalan Bunga Raya dekat sini, sebelum terbabit kemalangan kira-kira jam 12 tengah malam.

Muhammad Saiful maut apabila motosikal Yamaha 125Z ditunggangnya terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung kereta Perodua MyVi dipandu pelajar Politeknik Merlimau, Adli Hafetz Abd Halim, 21.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, mangsa menunggang dari arah persimpangan lampu isyarat Bukit Baru/Duyong menghala simpang empat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Siasatan awal mangsa terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta menyebabkan dia dipercayai terhentak di cermin kereta terbabit sebelum terjatuh di atas jalan raya dalam keadaan terlangkup.

“Mangsa yang dipercayai cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu kereta hanya cedera ringan dan di bawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Adli berkata, dia yang baru selesai makan bersama rakan di kawasan berhampiran, dalam perjalanan balik ke Merlimau sebelum motosikal ditunggang Muhammad Saiful tiba-tiba memasuki laluannya.

“Sebelum kejadian saya ada melihat kereta hadapan dapat mengelak motosikal tersebut yang kemudian memasuki semula laluan menghala Bukit Katil.

“Namun motosikal itu tiba-tiba masuk semula ke laluan saya menyebabkan saya gagal mengelak lalu kami bertembung,” katanya.

Bapa, Muhammad Saiful, Mohd Rawi Salim, 54, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu mula bekerja di hotel berkenaan pada 9 September lalu dan jika bekerja shif pagi, arwah akan keluar jam 6 pagi dan tamat kerja jam 3 petang.

Namun arwah dilihat suka melakukan kerja lebih masa sehingga jam 11 malam.

“Biasanya saya akan risau apabila dia balik lambat dan malam tersebut saya sempat menghubunginya kira-kira jam 10 malam yang kemudian meminta saya tidak risau kerana dia bekerja lebih masa dan akan berjumpa di rumah.

“Namun selepas itu saya menerima panggilan daripada rakan arwah mengenai kejadian ini. Saya tidak mempercayainya sehingga saya melihat sendiri mayatnya di hospital,” katanya ketika ditemui di ruang menunggu bilik mayat Hospital Melaka, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tak-sempat-belanja-keluarga-1.204542



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount