loading...

Monday, September 23, 2013

Dua beranak nyaris rentung



23 September 2013
GUNUNG SEMANGGOL - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas dua beranak yang terselamat apabila kereta yang mereka naiki terbakar secara tiba-tiba di Kilometer 181 Lebuhraya Utara-Selatan, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa berusia lingkungan 40-an bersama anaknya berusia 14 tahun dalam perjalanan dari rumah mereka di Sungai Petani, Kedah ke sebuah sekolah asrama penuh di Muar Johor.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan menghantar anak ke asrama penuh, mangsa menyedari tayar hadapan keretanya mengalami masalah, namun masih meneruskan pemanduan sehinggalah tayar itu meletup.

Berikutan itu, katanya, kereta Toyota Innova dinaiki dua beranak itu hilang kawalan sebelum melanggar tembok sementara disediakan kontraktor yang menyenggara jalan di lokasi kejadian.

“Kesan pelanggaran itu menyebabkan belakang kereta itu terbakar sebelum merebak ke bahagian depan dalam tempoh tidak sampai sepuluh minit.

“Bagaimanapun, mangsa dan anaknya yang cedera ringan sempat keluar dari kenderaan terbabit untuk menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam kejadian itu, peralatan persekolahan anak mangsa, termasuk sebuah komputer riba musnah.

Mat Fauzi berkata, anggota bomba dan penyelamat datang membantu mengawal kebakaran dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan api.

"Dalam pada itu, kita menggesa pengguna jalan raya berhati-hati mengendalikan kenderaan dan sentiasa memeriksa kondisi kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/berpantang-maut-sebelum-ajal-1.204562



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount