Wednesday, September 25, 2013

Pemandu maut rempuh treler rakan sekerja



26 September 2013
BATU PAHAT - Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebuah lagi treler dipandu  rakan di hadapannya.

Kejadian kira-kira jam 5.45 pagi semalam itu, berlaku ketika hujan lebat di Kilometer 95, Lebuhraya Utara Selatan (Plus), berhampiran Yong Peng di lorong kenderaan berat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian itu melibatkan tiga treler yang sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila treler dipandu mangsa yang berada di belakang sekali merempuh treler di hadapannya.

Beliau berkata, perlanggaran itu mengakibatkan treler yang berada di tengah terus merempuh treler lain yang berada di hadapan.

“Hujan lebat semasa kejadian berkemungkinan punca utama kemalangan berlaku apabila mangsa gagal melihat dengan jelas treler yang berada di hadapannya.

“Selain itu, faktor jalan yang agak licin juga membuatkan treler gagal dikawal sehingga  merempuh treler yang berada di hadapannya,” katanya kepada Sinar Harian bagi mengesahkan  kejadian, di sini semalam.

Din berkata, akibat rempuhan itu, mangsa tersepit dan maut di tempat  kejadian akibat kecederaan parah di hampir  seluruh anggota badannya.

Jelasnya, dua lagi pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan, manakala mayat mangsa  dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

“Kes ini masih dalam siasatan polis dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kemalangan berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/pemandu-maut-rempuh-treler-rakan-sekerja-1.205864



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount