loading...

Friday, September 27, 2013

Panggilan Tangisan


28 September 2013
SEREMBAN – Seorang lelaki terkejut menerima panggilan daripada saudaranya yang sedang menjerit dan menangis akibat terbabit dalam kemalangan di Jalan Seremban - Kuala Pilah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi itu, P.Arumugam, 37, menerima panggilan daripada mangsa, U.Turgga Devi, 24, sebaik saja terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan.

“Sepatutnya saya kena ambil Turgga di Seremban untuk sama-sama pergi ke Shah Alam untuk menghadiri satu program di sana. Tapi saya terkejut apabila menerima panggilan daripadanya yang ketika itu secara tiba-tiba menjerit dan menangis.

“Ketika itu, saya dan isteri tidak dapat bayangkan keadaan Turgga dan terus bergegas ke lokasi kejadian," kata Arumugam.

Menurutnya, setibanya di lokasi, Turgga merupakan anak saudara kepada isterinya, S.Saraswathy, 34, sudah dibawa ke hospital dengan ambulans.

Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke Seremban dengan memandu kereta jenis Proton Gen 2 berwarna hitam secara sendirian, mengalami kecederaan dalaman pada sebelah kakinya apabila kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faiz Sulaiman berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, seorang mangsa lelaki yang memandu Proton Wira hijau sudah diselamatkan oleh orang awam. Bagaimanapun, dua lagi mangsa wanita masih berada dalam kereta masing-masing selepas pelanggaran itu," katanya.

Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira 15 mint untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa wanita terbabit  dengan menggunakan peralatan menyelamat.

"Siasatan awal mendapati, faktor jalan licin antara punca kemalangan itu. Kesemua mangsa hanya cedera telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/terkejut-dengar-mangsa-menangis-dalam-talian-1.206388



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount