loading...
Thursday, May 23, 2013
Dua Parah terbabas
23 Mei 2013
RANTAU PANJANG – Dua parah sementara empat yang lain cedera apabila dua kereta terlibat dengan kemalangan dalam kejadian di Gual Mesa kira-kira jam 7.45 malam kelmarin.
Ketika kejadian, kedua-dua kereta jenis Wira dan Persona itu dalam perjalanan menuju ke arah Pasir Mas terlibat kemalangan apabila pemandu salah sebuah kenderaan terlibat gagal mengawal kereta dipandu.
Berikutan itu, pemandu serta penumpang kereta Proton Wira tersepit di tempat duduk masing-masing dan hanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.
Mereka yang terlibat kemalangan dikenali sebagai Mohd Asri Abdullah,36, Abdul Aziz Mohd Yusoff,18, Mohd Amir Firdaus Mohd Zaidi,11, Muhammad Adam Iskandar Mohd Zainuri,3, Nik Rubiah Che Harun,50,dan Siti Fatimah Mohd Yusoff,27, menaiki Persona, sementara penumpang dan pemandu kereta Wira yang parah tidak dikenali identitinya.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas dengan Ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang dan sebuah ambulans lain.
Nik Maznah Che Harun,47, berkata, ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki Persona baru sahaja berlepas dari rumahnya di Taman Wahyu untuk pulang ke Binjai setelah ke pekan Rantau Panjang petang kejadian untuk mendapatkan rawatan Muhammad Adam Iskandar di salah sebuah klinik yang dikatakan tidak sihat.
Menurutnya, dia amat terkejut mendapat panggilan memaklumkan mereka terlibat kemalangan dan terus bergegas ke tempat kejadian.
“Biar pun hampir kesemua cedera, tetapi saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius.
“Pada mulanya saya agak terkejut melihat keadaan kereta agak teruk, tetapi sebaik melihat kesemua mangsa tidak serius, saya merasa lega,” katanya.
Adik mangsa,Nik Rohana,42, dari Taman Rantau Baru berkata, sebelum kejadian kakak serta anak saudaranya ke rumahnya dan sempat makan sebelum ke rumah kakaknya di Taman Wahyu.
Katanya, dia dan keluarga dimaklumkan tentang kejadian oleh pekerja kakaknya yang berniaga di Cameron Highlands dan terus ke tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau panjang, Nashuha Fahd Mohd Mijar berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 8.01 malam.
Menurutnya, sebuah jentera bersama lima anggota diketua Pegawai Bomba Kanan 1(PBK1) Zaini Samad bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan kereta Wira.
“Kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing berjaya dikeluarkan dalam masa lima minit sebelum dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan.
“Ketika dikeluarkan mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas,Assisten Komisioner (ACP) Haliluddin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/dua-parah-gagal-kawal-kereta-1.162993
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment