loading...
Saturday, May 25, 2013
Di selekoh maut
25 Mei 2013
MARANG – Seorang bayi berusia 2 bulan terselamat dalam nahas jalan raya apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bersama ibu bapanya melanggar sebuah lagi MPV yang dipercayai terbabas di selekoh ‘maut’ Serating, di sini, semalam.
Selekoh dekat Kilometer 37 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu dikenali sebagai selekoh maut, kerana kerap berlaku kemalangan.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, ibu mangsa, Shamsinar Mohd Jaya, 36, berkata, MPV jenis Naza Citra itu terbabas ketika membelok sebelum dilanggar dua kenderaan termasuk MPV dipandu suaminya, Mohd Shukri Muda, 35.
“Kami dalam perjalanan dari Dungun menuju ke Kuala Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan, manakala Naza Citra itu di laluan bertentangan secara tiba-tiba masuk ke laluan kami.
“Saya bersyukur suami dan bayi berusia dua bulan serta tiga lagi anak kami berusia 7, 5 dan 3 tahun selamat dalam insiden ini, manakala seorang penumpang bersama kami juga tidak cedera,” katanya ditemui di tempat kejadian, semalam.
Akibat insiden itu, MPV jenis Toyota Estima dipandu suaminya mengalami kerosakan teruk termasuk MPV jenis Naza Citra itu, manakala kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger pula terpaksa ditunda.
Sementara itu, Mazlan Awang yang berada di dalam Ford Ranger itu berkata, dia bersama ahli keluarganya sedang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu sebelum sisi kanan pacuan empat roda dinaikinya itu dilanggar lalu hilang kawalan.
“Kenderaan kami terbabas dan berpusing sebelum terhenti di tepi kanan jalan,” katanya yang dalam perjalanan untuk menghantar barang persiapan majlis perkahwinan ahli keluarganya di Kuala Terengganu.
Difahamkan, hanya pemandu dan penumpang yang menaiki MPV jenis Naza Citra yang dalam perjalanan menuju ke arah Dungun itu mengalami kecederaan dan dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/terbabas-di-selekoh-maut-1.163659
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment