loading...

Tuesday, December 25, 2012

Pelajar UUM maut dihempap muatan treler


25 Disember 2012
BUKIT KAYU HITAM: Seorang maut manakala tiga lagi cedera termasuk seorang parah selepas kereta dinaiki empat sekawan itu dihempap papan lapis yang menggelongsor dari sebuah lori treler di kilometer 0.5 berhampiran Kompleks Zon Bebas Cukai, di sini, malam semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam berlaku selepas sebuah lori treler yang membawa muatan papan lapis hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan sehingga mengakibatkan papan lapis berkenaan menggelongsor menghempap kereta dinaiki empat pelajar itu.

Mangsa dipercayai pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah dialaminya di bahagian kepala akibat dihempap muatan lori treler terbabit.

Bagaimanapun, pemandu lori treler terbabit dikatakan melarikan diri selepas kejadian itu.


Difahamkan, lori treler itu yang datang dari arah Pekan Danok, Thailand tiba-tiba hilang kawalan dipercayai berpunca masalah brek sebelum hilang kawalan ketika menuruni bukit menghampiri Kompleks Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang terletak kira-kira 200 meter daripada tempat kejadian.

Kereta model Perodua Kancil dinaiki mangsa pada mulanya dikatakan mengekori lori berkenaan sebelum cuba memotongnya apabila mendapati lori hilang kawalan namun sebaik berada di sebelah kiri lori treler itu papan lapis diatasnya mula menggelongsor dan menghempap bahagian belakang kereta.

Ia mengakibatkan kereta mangsa remuk teruk menyebabkan mangsa yang berada di bahagian kanan belakang maut ditempat kejadian manakala rakan disebelahnya cedera parah. Dua lagi rakan mangsa di bahagian hadapan dilaporkan cedera dan masih dirawat di Hospital Jitra.

Pegawai Penyiasat Polis Daerah Kubang Pasu, Inspektor Juhaisham Jusoh ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu mangsa berasal dari ipoh dan baru mendaftar sebagai pelajar di UUM.

Katanya, semua mangsa yang belum dikenalpasti identitinya itu sudah dihantar ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, berdasarkan maklumat dalam laman twiter Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sehingga jam 11 pagi ini menyatakan pihaknya masih belum dapat mengalihkan lori berkenaan yang tersangkut pada pembahagi jalan namun sudah membuka laluan itu untuk kegunaan ramai berikutan kerja-kerja mengalihkan papan lapis berkenaan selesai dijalankan awal pagi tadi.

Mangsa

BUKIT KAYU HITAM - Kegembiraan empat penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika makan malam bersama bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dihempap muatan papan sebuah lori berhadapan Duty Free dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, Tan Chuan Ta, 20, mati di tempat kejadian manakala tiga rakannya, Khoo Kah Wai, 22; Wong Zong Ching, 24, dan Yong Hoi Siong, 23, masing-masing cedera ringan selepas kereta kancil yang dinaiki mereka dihempap papan yang dibawa sebuah lori.

Kah Wai berkata, mereka mengambil kesempatan cuti minggu peperiksaan untuk menikmati makan malam bersama di Danok, Thailand sebelum pulang semula ke pusat pengajian untuk mengambil peperiksaan akhir mereka.

“Sebaik selesai menikmati makan malam, kami bergerak untuk pulang dan secara tiba-tiba kenderaan kami dihempap muatan yang dibawa oleh lori terbabit.

“Kejadian berlaku sangat pantas dan selepas kejadian itu, saya tidak ingat apa yang berlaku selepas itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

Katanya, walaupun tinggal secara berasingan dan mengambil jurusan berbeza, di dalam kampus mereka rapat antara satu sama lain.

“Kami rapat sejak belajar dalam kelas yang sama melibatkan beberapa subjek dan mulai dari saat itu, kami sering menghubungi antara satu sama lain untuk ke mana sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Yusof berkata, kesemua mangsa tersepit lebih kurang sejam selepas dihempap sehingga menyebabkan kereta yang dinaiki remuk teruk.

Menurutnya, lori yang membawa muatan sebanyak 572 papan dari arah Thailand-Malaysia itu merempuh pembahagi jalan sebelum muatan yang dibawa terjatuh.

“Kemungkinan lori terbabit mempunyai masalah brek kerana kedudukannya berada di tengah-tengah pembahagi jalan dan disebabkan itu muatan yang dibawa hilang imbangan sebelum barangan terbabit menghempap kenderaan mangsa.

“Pemandu lori dipercayai melarikan diri ke arah Thailand sebaik kemalangan berlaku,” katanya.

Katanya, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan dan bedah siasat.

“Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan kemudiannya dituntut oleh waris yang berasal dari Semenyih, Kajang,” katanya.


Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Keretadihempappapanlapis/Article/index_html
sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-dihempap-ratusan-papan-1.115609


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my