loading...

Saturday, May 5, 2012

Elak Lubang Rempuh Tiang



TOKAI, Kedah – Seorang lelaki terpaksa bertarung nyawa menunggu pihak bomba mengeluarkannya akibat tersepit setelah kereta dipandunya terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik di Pekan Tokai, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi, mangsa, Abu Bakar Abdullah dari Kampung Bahagia Guar Kepayang cedera parah di bahagian kepala manakala kakinya disyaki patah akibat tersepit di kereta bersama tiang elektrik yang dirempuh.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) daerah Pendang, Mohd Izuddin Inus Meah berkata, mangsa memandu kereta Proton Saga berwarna biru dari arah Tanah Merah menuju ke Simpang Empat Kota Setar.

Menurutnya, jabatan itu menerima panggilan, kira-kira jam lapan pagi dan tiba ke lokasi 15 minit kemudian, mendapati mangsa tersepit menyebabkan anggotanya terpaksa menunggu ketibaan pihak bomba untuk usaha mengeluarkan mangsa.

“Mangsa tersepit kerana kereta yang dipandunya merempuh tiang elektrik bahagian kiri jalan sehingga menyebabkan mangsa tersepit teruk dan kami terpaksa menunggu pihak bomba datang walaupun mangsa mengerang kesakitan.

“Kepala mangsa mengalami kecederaan teruk manakala kakinya disyaki patah sebelum dia terus dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk mendapatkan rawatan dan saya difahamkan mangsa dirawat di zon merah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Izuddin berkata, mangsa berjaya dikeluarkan hampir sejam kemudian.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan oleh orang ramai bahawa kenderaan itu terbabas dan merempuh tiang elektrik kerana dikatakan mahu mengelak daripada lubang di laluan berkenaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/sejam-tersepit-dalam-kereta-1.45727

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my