loading...

Wednesday, April 11, 2012

Mangsa Langgar Lari


Inalillahi wainailaihi rojiun

PARIT BUNTAR – Polis kini mencari suspek satu kejadian langgar lari yang berlaku di kilometer 199 jalan Ipoh-Butterworth, berdekatan Kampung Melaka, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian itu berlaku pada kam 6.30 pagi dan menyebabkan kehilangan nyawa seorang pengawal keselamatan di Mahkamah Majistret Parit Buntar, Omar Basrim, 63.

Menurut beliau, kejadian turut menyebabkan dua penunggang motosikal yang dikenali sebagai Wan Man, 29 dan Mohd Shahidan dari Kuala Kurau mengalami kecederaan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dalam perjalanan dengan menaiki basikal dari rumahnya di Parit Haji Amin, Batu 5 Jalan Baru Parit Buntar ke tempat kerjanya.

“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang belum dapat dipastikan jenis serta pemandunya,” katanya ketika ditemui, di sini.

Mat Fauzi memaklumkan, keadaan masih gelap semasa kejadian dan kenderaan terbabit telah lari meninggalkan tempat kejadian sebaik sahaja melanggar mangsa.

Katanya, mangsa dipercayai mengalami pendarahan serius pada bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.

“Pada masa sama, Wan Man yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Bukit Mertajam, Pulau Pinang cedera apabila terjatuh kerana tidak sempat mengelak basikal mangsa.

“Manakala, Mohd Shahidan yang juga dalam perjalanan ke tempat kerja di Kulim, Kedah parah apabila terjatuh semasa mengelak mayat mangsa dan telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan,” katanya.

Mat Fauzi memaklumkan, mangsa didapati telah meninggal dunia sewaktu polis tiba di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke HPB untuk bedah siasat.

Tambahnya, mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu Lima, di sini.

“Polis mengklasifikasikan kejadian ini sebagai langgar lari dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti kenderaan serta suspek kejadian.

“Kita harap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubungi kejadian dapat menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/suspek-langgar-lari-dicari-1.39410

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my