loading...

Friday, February 24, 2012

Ramai penunggang guna topi keledar tanpa cop SIRIM

IPOH 23 Feb. - Ramai penunggang motosikal di negeri ini dikesan gemar menggunakan topi 'keledar kura-kura' yang tidak menepati standard Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Bhd.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Laila Mazwin Zakaria berkata, selain itu, penunggang motosikal juga gemar menggunakan topi keledar usang yang tidak selamat dipakai kerana lama.

Katanya, sikap sambil lewa penunggang tersebut mendedahkan mereka kepada risiko kecederaan parah di bahagian kepala yang sering dialami oleh penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini.

"Melalui pelbagai kempen yang diadakan sebelum ini, kita dapati kesedaran pemakaian topi keledar masih rendah di kalangan penunggang motosikal.

"Malah ada yang memandang remeh mengenai penukaran topi keledar baru kerana beranggapan ia masih elok dan selamat digunakan berdasarkan keadaan fizikal semata-mata," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Kempen Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya bersama Allianz General Insurance (M) Bhd. (Allianz Insurance) di Jalan Raja Di Hilir di sini hari ini.

Menurut Laila, topi keledar yang usang terdedah kepada risiko keretakan di bahagian dalam yang membahayakan nyawa penunggang motosikal sekiranya terhentak di jalan raya, walaupun keadaan fizikalnya kelihatan elok.

"Melalui kempen ini, kita berikan mereka topi keledar percuma supaya mereka sedar topi yang mereka gunakan sudah usang dan perlu diganti baharu demi keselamatan mereka," katanya.

Terdahulu, beliau bersama Pengurus Allianz Insurance Cawangan Ipoh, Chin Chap Nguen menyampaikan sumbangan 50 topi keledar, 20 tempat duduk kanak-kanak, 600 pelekat dan risalah pemanduan berhemah kepada pengguna jalan raya yang menyertai kempen tersebut.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_04.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my