loading...

Thursday, July 14, 2011

3 Maut dalam Kemalangan Ngeri


JEMPOL 13 Julai - Tiga terbunuh apabila sebuah treler merempuh sebuah kereta dan motosikal dalam kemalangan ngeri di Kilometer 15, Jalan Bahau-Kemayan, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5.50 petang, mereka yang maut ialah penunggang motosikal, Alizan Ahmad, 35, serta pemandu dan penumpang kereta, Chu Peng Seng, 34, dan Sum Wan Kong, 49.

Kesemua mereka cedera parah termasuk Alizan yang putus kaki kanan dan tercampak hampir 20 meter, mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad memberitahu, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Demak yang ditunggang Alizan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah treler dari arah hadapan.

Katanya, ia mengakibatkan Alizan termasuk di bawah treler itu sebelum kenderaan berat membawa muatan kayu getah itu merempuh kereta Proton Saga dinaiki dua lagi mangsa iaitu Peng Seng dan Wan Kong.

"Akibat rempuhan itu, kereta tersebut terhumban sejauh 14 meter ke dalam semak berdekatan dan treler itu pula terbalik.

"Semasa kejadian, motosikal dan kereta itu dikatakan dari arah Bahau ke Kemayan manakala treler terbabit pula datang dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Sabri memberitahu, berikutan kemalangan itu, pemandu treler berusia 27 tahun itu cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.

"Kereta itu remuk menyebabkan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit.

"Jalan juga terpaksa ditutup selama beberapa jam bagi membolehkan kerja-kerja mengalihkan kayu getah yang bertaburan di jalan raya," ujarnya.

Katanya, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.

Sumber Gambar: Kosmo
Sumber Berita : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my