18 April 2013
IPOH - Gara-gara seekor lembu, seorang lelaki maut selepas motosikal yang dinaikinya melanggar haiwan tersebut dipercayai berada di tengah jalan di Jalan Lahat-Falim, awal pagi semalam.
Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 1.25 pagi ketika mangsa, D Raj Kumar dari Taman Pertama dikatakan menunggang bersendirian dan dalam perjalanan dari arah bandar raya Ipoh menghala ke Falim.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superitendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, mangsa yang bekerja sendiri dipercayai tidak dapat mengelak motosikalnya lalu melanggar seekor lembu yang berada di tengah jalan berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan maut serta merta kerana mengalami cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
“Lembu tersebut turut mati akibat pelanggaran itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, keadaan jalan dua hala itu lurus namun persekitarannya gelap disebabkan ketiadaan lampu jalan.
“Berikutan itu, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil bantu siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Sharuddin turut memberi peringatan kepada penternak lembu supaya tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka tanpa pengawasan bagi mengelakkan kemalangan berlaku.
Katanya, selain haiwan ternakan, haiwan liar seperti babi hutan biasanya keluar melintasi jalan raya terutamanya pada waktu malam.
“Sehubungan itu, pengguna perlu berwaspada ketika melalui jalan gelap dan berhampiran hutan agar kemalangan tidak berlaku melibatkan haiwan,” ujarnya.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/lelaki-maut-langgar-lembu-1.151370
No comments:
Post a Comment