loading...

Saturday, April 20, 2013

Maut dilanggar bapa




Inalillahi wainailaihi rojiun

20 April 2013
MARANG – Malang. Itulah nasib sebuah keluarga apabila anak bongsu mereka meninggal dunia akibat dilanggar kereta dipandu bapa sendiri di Kampung Pulau Kerengga di sini, kelmarin.

Kejadian menyayat hati kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika bapa mangsa, Alias Ismail, 49, memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier miliknya untuk memasuki bahagian tempat meletak kereta dekat rumahnya.

Sebelum kejadian, Alias memberhentikan kenderaan sambil menunggu isterinya, Mariam Mohd Sidek, 44, menghantar kunci sebuah lagi kenderaan namun tidak menyedari anaknya, Norain, 4, mengikut rapat di belakang isterinya.

“Saya langsung tidak nampak atau menyedari Norain berada di situ. Saya hanya sedar apabila terasa seperti kenderaan terlanggar sesuatu.

“Saya macam bermimpi apabila mendapati Norain berada di bawah kenderaan,” katanya, semalam.

Berikutan kejadian itu, Alias segera membawa anak bongsunya yang mengalami kecederaan di kepala ke Klinik Kesihatan Marang, sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, menurut ibu mangsa, Mariam Mohd Sidek, 44, anaknya disahkan meninggal dunia di HSNZ kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Mariam berkata, beberapa hari sebelum tragedi berlaku, anak bongsunya itu sangat manja dengan bapanya.

“Kelakuannya agak pelik kerana dia sebenarnya rapat dengan saya,” katanya.

Jenazah Norain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pulau Kerangga petang kelmarin.

Alias juga telah memberikan keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/maut-dilanggar-kereta-bapa-1.152027


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my