loading...

Saturday, June 30, 2012

Kemalangan Pekerja Meningkat

Othman Mohd. Nordin (kanan) memakaikan vest keselamatan kepada salah seorang penerima 
pada Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Perjalanan Selamat Ke Tempat Kerja peringkat negeri di Pendang

PENDANG 26 Jun - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah memandang serius peningkatan kes kemalangan jalan raya semasa pekerja berulang-alik ke tempat kerja dan ketika waktu rehat, khususnya melibatkan penunggang motosikal.

Pengarah Perkeso negeri, Othman Mohd. Nordin berkata, berdasarkan statistik sepanjang lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 670 kes direkodkan membabitkan pembayaran pampasan RM560,332 berbanding 450 kes dengan bayaran sebanyak RM267,455 bagi tempoh sama tahun lalu di negeri ini.

"Kajian Perkeso juga mendapati Kedah menduduki tangga keenam negeri yang mencatatkan kes kemalangan jalan raya tertinggi pada tahun lepas.

"Fenomena ini perlu dibendung segera supaya kemalangan jalan raya semasa perjalanan ke tempat kerja atau sebaliknya dapat dikurangkan," katanya pada Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Perjalanan Selamat Ke Tempat Kerja peringkat negeri di Kuari Bukit Perak, di sini hari ini.

Hadir sama pada program yang dianjurkan dengan kerjasama Bina & Kuari (K) Sdn. Bhd. itu ialah Pengerusi syarikat tersebut, Senator Muhamad Yusof Husin.

Pada majlis berkenaan, Perkeso Kedah turut menyerahkan cek faedah kepada lima penerima dan menyampaikan topi keledar serta jaket keselamatan kepada wakil syarikat dan orang awam.

Othman berkata, penunggang motosikal masih lagi menjadi kumpulan pengguna jalan raya yang paling terdedah dan berisiko dalam kes-kes kemalangan.

Ini kerana, katanya, kebanyakan penunggang motosikal sering mengabaikan perkara asas keselamatan seperti tidak memakai topi keledar atau memakainya dengan cara tidak betul, tidak patuh arahan lalu lintas dan mengabaikan aspek penyelenggaraan kenderaan mereka.

"Berikutan itu, kami menganjurkan program untuk memberi kefahaman dan penekanan keperluan tindakan pencegahan sebagai asas kepada perlindungan keselamatan sosial pekerja.

"Perkeso amat menghargai mana-mana majikan di negeri ini yang mengambil langkah positif menganjurkan dan menyokong usaha kerajaan menangani isu keselamatan jalan raya," katanya.

Dalam pada itu, Othman memberitahu, pembayaran pampasan faedah oleh Perkeso negeri dari Januari hingga Mei tahun ini meningkat 31.51 peratus iaitu kepada RM4.97 juta berbanding RM3.78 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihatkan majikan yang belum mencarum pekerja mereka supaya berbuat demikian jika tidak mahu berdepan dengan tindakan denda.

Katanya, kebanyakan majikan yang gagal mencarum untuk pekerja mereka adalah di dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_05.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my