loading...

Tuesday, April 17, 2012

Warga Emas Maut Dirempuh Motosikal

PERAI – Seorang wanita maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika hendak melintas dalam satu kejadian langgar lari di Kilometer 0.5 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), arah Bukit Tengah, awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.45 pagi ketika mangsa, Y Letchumey, 56, dari Pangsapuri Teluk Indah 2, Perai Jaya, di sini, dalam perjalanan menuju ke tempat kerja yang terletak tidak jauh dari lokasi.

Dia yang hendak menyeberangi jalan dikatakan dilanggar sebuah kenderaan, dipercayai motosikal yang datang dari arah Perai menyebabkan mangsa terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penunggang motosikal dipercayai turut terjatuh ketika kejadian, namun, bangun sejurus kemudian dan melarikan diri berdasarkan kesan yang terdapat di lokasi.

Ketua Trafik/Ketenteraman Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Superintendan S Manogaran berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 8 pagi oleh orang ramai.

Menurutnya, mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan sahaja, dan sehingga kini usaha mengesan penunggang motosikal itu sedang giat dijalankan.

“Ketika kejadian, mangsa melintas dari arah sebuah hotel dan dipercayai hendak menuju ke tempat kerjanya yang terletak di seberang jalan.

“Namun, malang tidak berbau apabila dia yang berada di lorong kiri jalan dilanggar sebuah kenderaan, dipercayai motosikal dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Manogaran berkata, keadaan jalan yang gelap berkemungkinan menjadi faktor kemalangan, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti puncanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian hubungi Pegawai Penyiasat Balai Trafik SPT di talian 04-5301977 bagi membantu siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/warga-emas-maut-dilanggar-motosikal-ketika-melintas-1.40602

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my