loading...

Saturday, April 21, 2012

Kemalangan perjalanan ke hospital

Inalillahi wainailaihi rojiun

REMBAU: Hasrat seorang kakitangan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk melawat bapa tunangnya yang sakit di hospital di Kedah, berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 243, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat sini, awal pagi semalam.

Lebih memilukan apabila mangsa yang dikatakan baru bertunang tiga bulan lalu tidak sempat melangsungkan perkahwinan dijadualkan pada November depan.


Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu turut mengakibatkan treler membawa muatan sabun berkenaan terbakar, namun pemandu lingkungan 30-an tidak cedera. Mangsa, Mohd Razif Abdullah Sani, 24, yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari Johor Bharu ke kampungnya di Kampung Parit Mahang, Jeram, Selangor.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu treler dipercayai melihat mangsa terbaring bersama motosikalnya di laluan kiri jalan terbabit.


“Pemandu itu dipercayai cuba mengelak tetapi tidak berjaya lalu melanggar mangsa, manakala motosikal berkenaan tersangkut dan terseret di bahagian kiri depan lori sejauh 60 meter.


“Perlanggaran berkenaan menyebabkan mangsa cedera teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Kejadian itu menyebabkan treler berkenaan turut terbakar dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau serta Seremban 2 diketuai Ketua Operasi, Mohd Yusoff Samad, dikerah memadam kebakaran.


Mayat mangsa yang bertugas sebagai Penolong Pemeriksa Kilang dan Jentera itu dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk bedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa, Sumiyah Kasan, 62, berkata, dia tidak mengetahui anak bongsu daripada enam beradik yang lebih mesra dipanggil Ajib akan pulang walaupun arwah ada menelefon, tetapi sekadar bertanya khabar, pada malam sebelum kejadian.


“Bagaimanapun, tunangnya ada memberitahu bahawa Ajib sudah merancang ke Jitra, Kedah, hujung minggu ini, untuk melawat ayahnya yang sakit,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HT, semalam.


Menurutnya, dia sedih kerana arwah begitu bersemangat mengumpul duit syiling RM500 sebagai wang mas kahwin dan hampir semua persiapan perkahwinan sudah siap.


Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.


Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Nahasketikamahulawatbakalmentuadihospital/Article/index_html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my