loading...

Thursday, December 15, 2011

Pemandu Lori Maut Dirempuh Kereta Serta Bas


SLIM RIVER - Seorang pemandu lori maut akibat kelemasan setelah lori yang dipandunya terbalik dalam satu kemalangan di Kilometer 367.3 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, pada petang semalam.


Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori membawa muatan rempah ratus, sebuah bas ekspres dan sebuah kereta jenis proton wira.

Menurut beliau, lori yang dipandu mangsa dari Petaling Jaya, Selangor menuju ke Ipoh, dipercayai hilang kawa­­lan­ ketika tiba di tempat kejadian dan telah melintangi jalan.

“Dalam masa sama, sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun, dari Kuala Lumpur menuju Sitiawan, berada di belakang lori berkenaan dan sempat memberhentikan kenderaan sebelum merempuh lori berkenaan.

“Bagaimanapun, sebuah bas membawa 31 penumpang dari Kuala Lumpur ke Lumut tidak sempat memberhentikan kenderaan dan telah melanggar kereta terbabit sebelum merempuh lori yang dipandu mangsa,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, rempuhan itu telah menyebabkan lori terbabit terbalik, mengakibatkan mangsa yang dikenali sebagai Vinayavarmurthy, 45, dan berasal dari Ipoh dihempap kenderaan sendiri, lalu lemas sebelum maut di tempat kejadian.

Menurut Othman, Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Slim River dan Tapah telah dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta, pemandu bas dan semua penumpang bas terselamat dalam kejadian berkenaan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa juga telah dituntut oleh anggota keluarganya di Unit Forensik Hospital Slim River pada kira-kira jam 11 malam kelmarin,” katanya.

Katanya, siasatan berhubung kejadian dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis masih menyiasat punca kejadian.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my