loading...

Thursday, December 15, 2011

Bas sekolah bertembung ambulans


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera parah apabila bas sekolah dipandunya bertembung sebuah ambulans sebelum merempuh tujuh kenderaan lain ketika cuba memotong sebuah kereta dalam kemalangan di Dutamas Raya, Segambut di sini, hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, bas tanpa penumpang yang dipandu lelaki berumur 30-an itu dalam perjalanan menghala ibu negara.

"Bas dikatakan cuba memotong sebuah kereta, namun pada masa sama sebuah ambulans datang dari arah bertentangan.

"Ekoran itu, bas terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh tujuh kenderaan lain termasuk dua buah teksi yang kebanyakannya diletakkan di sebelah kiri bahu jalan," katanya ketika dihubungi Bernama.


Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu bas tersebut cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan, manakala pemandu ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan.


Ketika kejadian tiada orang lain dalam ambulans tersebut kecuali pemandu.

Menurutnya, susulan kejadian itu, lapan buah kenderaan rosak termasuk sebuah kereta Perodua Kembara yang remuk teruk akibat dihempap bas berkenaan.

"Siasatan mendapati, kejadian itu berpunca daripada bas sekolah yang gagal dikawal ketika memotong yang pada masa sama sebuah ambulans dipandu laju dari arah bertentangan menyebabkan bas tersebut hilang kawalan sehingga merempuh kenderaan lain.

"Siasatan terperinci sedang dilakukan dan polis akan mengambil keterangan daripada beberapa mangsa termasuk pemandu bas," katanya. - BERNAMA

Sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my