loading...

Tuesday, October 4, 2011

Penduduk Taman Sri Mersing minta lampu isyarat

 PARA pengguna kenderaan terpaksa berbaris lama setiap hari di simpang Taman Sri Mersing 
kerana persimpangan itu tidak dilengkapi lampu isyarat. Oleh RAHIMAH MOHAMED-UtusanJohor


MERSING 3 Okt. - Penduduk Taman Sri Mersing di sini, terpaksa memperjudikan nyawa setiap hari ketika keluar masuk ke kawasan perumahan itu ekoran ketiadaan lampu isyarat di simpang tiga kawasan tersebut yang sering mengakibatkan kemalangan atau pertembungan kenderaan, terutamanya pada waktu puncak.

Salah seorang penduduk, Mohd. Nordin Salleh, 37, berkata, ketiadaan lampu isyarat menimbulkan kebimbangan, khususnya dalam kalangan pelajar dan remaja yang menunggang basikal dan motosikal.

"Simpang di Taman Sri Mersing itu menjadi laluan harian saya untuk ke kedai makan atau ke kedai berhampiran. Masalahnya, saya sukar untuk melepasi persimpangan ini kerana tidak dilengkapi lampu isyarat.

"Persimpangan ini merupakan laluan utama penduduk di taman ini yang berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah atau melakukan aktiviti harian lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Utusan Malaysia difahamkan, di persimpangan itu kerap berlaku kemalangan kecil melibatkan pertembungan kenderaan, selain motosikal sering terbabas kerana mengelakkan daripada dilanggar.

Seorang penduduk, Nora Ahmad, 38, pula memberitahu, baru-baru ini berlaku kemalangan di mana dua kereta bertembung sehingga berpusing di kawasan simpang itu.

"Mujurlah tiada nyawa yang hilang tetapi jangan sampai suatu hari nanti ada nyawa yang melayang di tempat itu, barulah pihak yang bertanggungjawab ingin mengambil tindakan," katanya.

Seorang pelajar, Amir Ahmad, 14, pula mengakui terpaksa melalui jalan di simpang tiga itu setiap hari untuk ke sekolah kerana tiada pilihan lain disebabkan ia adalah laluan utama, termasuk pengguna basikal.

"Saya harap pihak yang berkaitan segera membina lampu isyarat di simpang berkenaan demi kemudahan dan keselamatan pengguna," katanya lagi.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my