loading...

Tuesday, September 6, 2011

Dua Kanak-Kanak Terperosok ke Longkang


ENDAU – Dua kanak-kanak maut setelah merempuh papan tanda di bahagian kiri jalan dalam satu kejadian kemalangan di Kilometer 12, Jalan Endau-Penyabung, Sungai Mengkuang, di sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu, motosikal yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan melanggar papan tanda berkenaan, sebelum kedua-dua kanak-kanak terbabit terperosok ke dalam longkang berhampiran.

Mangsa, Mohamad Haffif Syahrizal Hassan, 11, yang menunggang motosikal meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Endau, manakala sepupunya, Nor Shahrul Mohd Razali, 6, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, lokasi kemalangan terletak kira-kira tiga kilometer daripada rumah nenek Mohd Haffif di Kampung Triang.

Mohd Haffif yang tinggal bersama neneknya dipercayai keluar untuk membawa Nor Shahrul bersiar-siar.

Ibu Mohamad Haffif, Rozaitul Sam Suriya, 33, tidak menyangka pertemuannya dengan Allahyarham semalam adalah pertemuan yang terakhir sebelum pulang ke Ulu Tiram untuk bertugas.

“Sebelum saya pulang ke Ulu Tiram, arwah ada memberitahu ketika makan bersama adalah yang terakhir dengan saya.

“Malah, arwah kelihatan sedikit pelik kerana selalunya arwah tidak menghalang kalau saya balik ke Ulu Tiram, tetapi kali ini, dia tidak mahu melepaskan saya balik,” katanya yang kepada Sinar Harian.

Seorang saksi, Jusnizam Mohd Zain, 30, berkata, dia terdengar bunyi seperti kemalangan berlaku di hadapan rumahnya dan bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Ketika itu, saya hanya melihat motosikal sahaja di tepi jalan sedangkan orangnya tiada. Namun setelah saya tunduk, saya melihat dua kanak-kanak di dalam longkang dan segera mengeluarkan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my