loading...

Tuesday, April 26, 2011

Warga Emas Nyaris Maut


SUNGAI SIPUT (U)- Seorang wanita warga emas berusia lingkungan 60-an nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangnya bergeser dengan sebuah lori dalam kemalangan jalan raya di Pekan Sungai Siput, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Jalong menunggang seorang diri dalam kejadian pada jam 12 tengah hari itu.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa sedang menghala dari arah Ipoh menuju Kuala Kangsar pada ketika itu dan lori terbabit juga dari arah sama.

“Pemandu lori yang berusia 50-an cuba mengelak daripada merempuh motosikal di hadapannya yang dipercayai menukar lorong secara tiba-tiba ketika itu.

“Dalam usaha mengelak motosikal berkenaan, lori itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sehingga melanggar pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Azman berkata, sungguhpun telah cuba mengelak motosikal yang ditunggang mangsa, percubaan pemandu lori gagal apabila lori berkenaan tetap bergeser dengan motosikal terbabit.

“Kejadian berlaku di Kilometer 28.1 Jalan Ipoh menghala ke Kuala Kangsar di hadapan Klinik Kesihatan Sungai Siput dan berhampiran sebuah sekolah.

“Kejadian juga telah menyebabkan kerosakan kepada pembahagi jalan selain lori yang mengalami kerosakan di bahagian hadapan,” katanya.

Menurut Azman, mangsa mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu dan telah dikejarkan ke Hospital Sungai Siput (HSS) untuk menerima rawatan.

“Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kita juga bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa dalam kejadian ini.

“Polis masih lagi menyiasat kemalangan ini dan mangsa kini ditahan di wad HSS kerana dikhuatiri mengalami masalah kesihatan serta kecederaan lain kerana faktor usia,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/perak/content/story9018008.asp




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my