loading...

Thursday, April 28, 2011

Warga Emas Maut di Sungai Tong

Al-Fatihah...

KAMPUNG TELAGA- Hasrat seorang warga emas untuk pulang ke rumah selepas selesai urusan di pasar pagi (Hari Giliran) Kuala Berang tidak kesampaian apabila dia maut setelah kereta dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Kuala Berang-Sungai Tong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa Abu Abd Latif, 63, yang memandu sendirian Proton Iswara dari arah Kuala Berang menuju Sungai Tong dan sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandunya memasuki lorong bertentangan secara tiba-tiba lalu bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, akibat kemala-ngan tersebut mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Mangsa berasal dari kampung Kepah dan bekerja sendiri ini dikatakan masuk ke laluan bertentangan secara tiba-tiba hingga menyebabkan kereta dipandunya bertembung sebuah treler dipandu Muhamad Al Amin Yusof, 43, beralamat di Bukit Besi, Dungun.

“Akibat pertembungan itu juga, treler tersebut terbabas lalu merempuh bangsal di hadapan sebuah rumah penduduk. Mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut, manakala pemandu treler berkenaan tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zaki Abd Hamid berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk membawa keluar mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu setelah menerima panggilan jam 11.30 pagi dan seramai enam anggota dengan sebuah jentera terlibat dalam operasi berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai turut memenuhi lokasi kejadian bagi melihat dengan lebih dekat kemalangan tersebut.

Sinar Harian juga difahamkan walaupun kawasan tersebut merupakan jalan lurus namun ia merupakan salah satu lokasi yang sering berlakunya kemalangan.

Penduduk yang hanya ingin dikenal sebagai Abdullah berkata, walaupun pada pandangan mata kasar permukaan jalan raya di situ kelihatan rata namun sebenarnya terdapat satu lokasi yang seolah-olah berbonggol.

Apatah lagi, kebanya-kan pemandu memecut laju kerana ia merupakan jalan lurus.
“Kebiasannya, apabila kenderaan berat melalui kawasan dikatakan seolah-olah berbonggol itu, sudah pasti kita fikirkan ia kemalangan kerana bunyinya.

“Malah, pada mulanya tadi saya tidak menyangka bunyi dentuman kuat itu akibat kemalangan sehinggalah mendengar bunyi siren kecemasan,” katanya.

“Mujurlah kemalangan waktu pagi”

“Mujurlah kemala-ngan ini berlaku waktu pagi kerana kebiasannya setiap petang anak bongsu saya bermain badminton di halaman rumah bersama kawannya.

“Malah, saya juga bersyukur kerana treler yang terbabas ini hanya merempuh bahagian garaj kereta bukannya rumah,” luah Aidawati Mustapha, 36.

Aidawati, penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kemalangan maut berlaku di Kilometer 4 Jalan Kuala Berang-Sungai Tong, di sini, kira-kira 11.30 pagi semalam membabitkan sebuah Proton Iswara dengan sebuah treler.

Malah, akibat kemalangan itu, garaj kereta milik Aidawati turut dirempuh.

Menurut Aidawati yang juga seorang ibu tunggal, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja di Kuala Berang.

Dia hanya mengetahui garaj keretanya dirempuh treler setelah dihubungi bapanya, Mustapha Ibrahim, 57, yang ketika itu berada di Kemaman.

“Saya terus bergegas pulang apabila diberitahu rumah saya hampir dirempuh treler yang terbabas akibat kemalangan dengan sebuah kereta dan saya sangat beryukur kerana ia hanya melibatkan garaj kereta biarpun jaraknya hanya beberapa meter sahaja dengan rumah.

“Kebiasaannya, kawasan garaj itu digunakan untuk parkir kereta Proton Saga, namun hari ini (semalam) ia digunakan adik saya, Amri Rizal Mustapha, 29, untuk ke tempat kerjanya kerana motosikalnya rosak. Sekiranya tidak, sudah tentu kereta tersebut juga turut terlibat.

“Saya tinggal di sini bersama enam ahli keluarga termasuk tiga anak yang berumur 8, 12, dan 13 tahun,” katanya.

Aidawati berkata, biasanya setiap petang, anak bongsu saya, Tengku Aidil Putra Tengku Nasiruddin bermain badminton bersama kawannya di hala-man rumah.

“Namun, syukurlah kemalangan ini berlaku pada waktu pagi iaitu ketika anak saya berada di sekolah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story9024998.asp

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my