loading...

Thursday, April 28, 2011

Lintasan Maut Untuk Pelajar SMK USJ 23

BERBAHAYA...pelajar terpaksa melintas jalan walaupun pemandu memandu laju.


SUBANG JAYA: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 23, di sini, mempertaruhkan nyawa setiap kali melintas jalan di hadapan sekolah berikutan tiada jejantas di situ.
Setiap hari pelajar berdepan risiko kemalangan kerana kenderaan yang lalu lalang seolah-olah berlumba sehingga tidak mengendahkan pelajar melintas.

Tinjauan Metroplus mendapati keadaan menjadi sesak apabila tamat sesi persekolahan kerana pelajar berasak-asak melintas jalan untuk pulang ke rumah.
Lebih menakutkan, ada ketikanya ‘lori hantu’ melalui kawasan berkenaan dan memandu laju tanpa mempedulikan pelajar yang menggunakan laluan itu.

Pelajar, Ahmad Fakhrul Zahir Zulkifli, 15, berkata dia mengalami trauma apabila pernah melihat kejadian pelajar dilanggar kereta di kawasan berkenaan.

Gambar Hiasan: Adakah ingin pelajar kita jadi sedemikian.

“Pemandu memandu laju dan tidak mempedulikan kami yang ingin melintas. Saya kadang kala berasa ragu untuk melintas, namun kerana ingin cepat pulang ke rumah saya redah saja.
“Saya juga pernah melihat pelajar dilanggar kereta sebanyak dua kali dalam kejadian berasingan di sini sehingga terpaksa meminta ayah menghantar saya ke sekolah ketika itu,” katanya.

Sementara itu, pelajar tingkatan lima, Muthoharoh Yusof, 17, berkata dia yang sering pulang lewat petang gusar apabila melihat kenderaan dipandu laju tanpa mempedulikan pelajar melintas jalan.
“Sejak sekolah ini dibuka pada 2004, kami bertarung nyawa setiap hari untuk ke sekolah. Kami harap pihak berkuasa segera membina jejantas di sini.

“Sikap mereka (pemandu) yang melanggar lampu isyarat merah membahayakan kami. Saya nyaris dilanggar sedangkan ketika itu lampu isyarat berwarna merah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid, ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima aduan orang ramai mengenai masalah bahaya di kawasan berkenaan.

“Sejak dulu orang ramai menggunakan lampu isyarat untuk melintas di tempat itu, mengenai bahaya yang perlu ditempuh oleh pelajar di situ kami akan menyiasat perkara ini.

“Jika keadaan memerlukan jejantas dibina di situ, kami akan segera bertindak untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my