loading...

Saturday, November 3, 2012

Lori dirempuh bas ketika menukar lorong



3 November 2012
TAPAH - Sebuah bas ekspres tanpa penumpang ‘melekat’ di belakang sebuah lori tangki muatan susu getah selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 307.1 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, pemandu lori tangki, S Subramaniam, 40, berkata dia sedang memandu di lorong kanan lebuh raya sebelum dirempuh bas terbabit.

Katanya, akibat rempuhan itu, dia tersentak sehingga melanggar pembahagi besi di tengah lebuh raya sebelum berhenti.

“Selepas dirempuh bas terbabit, saya cuba mengawal stereng bagi mengelakkan lori terbalik dan muatan susu getah tertumpah di atas jalan.

“Berikutan itu, saya secara tidak sengaja turut menyeret bas ekspres berkenaan sejauh 200 meter,” katanya yang memandu lori dari Kluang, Johor menuju ke Kulim, Kedah.

Menurutnya, selepas turun daripada kenderaannya dia mendapati pemandu kedua bas berkenaan yang berusia 40-an mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki akibat  kemalangan itu.

Turut telibat dalam kemalangan itu ialah sebuah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki warga Nigeria namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada lori tangki yang cuba menukar lorong dari kiri ke kanan lebuh raya tersebut.

Menurutnya, rempuhan berlaku akibat bas ekspres yang di belakang tidak sempat mengelak lori tangki tersebut.

“Pada masa sama, sebuah kereta yang dipandu warga Nigeria yang berada di belakang bas tersebut gagal mengelak lalu melanggar belakang kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kong Soon berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Tapah yang membantu mengeluarkan mangsa mengalami sedikit kesukaran kerana pintu bas ekspres remuk akibat pelanggaran itu.

“Akhirnya, mangsa yang cedera di kaki kanan itu, berjaya dikeluarkan melalui pintu kecemasan pada bahagian belakang bas dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu utama bas ekspres yang berusia awal 50-an itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang memberitahu sewaktu kejadian jalan sedikit licin akibat hujan.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/bas-melekat-belakang-lori-1.100350


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my