loading...

Friday, October 28, 2011

Maut Selepas Membeli Nasi

Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA BHARU- Seorang ibu tidak menyangka perubahan sikap ketara anaknya yang begitu berselera makan berbanding hari-hari biasa adalah petunjuk dia akan kehilangan anak lelakinya itu buat selama-lamanya.

Mangsa, Mohd Zaidi Zulkilfi, 20, yang juga penjual pakaian di Pasar Malam Wakaf Che Yeh disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II pada jam 9 malam semalam selepas dia terbabit dalam kemalangan jam 5.30 pagi kelmarin di Jalan Tunjong, dekat sini.

Ibu mangsa, Surianun Che Mat, 52, berkata, dua hari sebelum kejadian anak lelakinya itu sangat berselera makan dan mampu menghabiskan nasi bersama dua mangkuk mi sup yang dibelinya.

“Sebelum ini saya tidak pernah melihat gelagat yang agak berlainan daripada kebiasaannya ini, tetapi tidak terdetik di hati saya untuk bertanyakannya.

“Saya melihat tingkah lakunya agak pelik tetapi tidak pernah menjangkakan sesuatu yang buruk akan menimpanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Che Yeh, semalam.

Surianun berkata, dia mengetahui kemalangan yang melibatkan anak kelima daripada enam beradik itu selepas rakan anaknya datang memberitahunya di rumah ketika dia tidur.

“Kami bergegas ke hospital dan mendapati ketika itu dia sudah tidak sedarkan diri yang kemudiannya beberapa jam kemudian dia menghembuskan nafas terakhirnya di sisi saya,” katanya.

Surianun berkata, sebelum kejadian Mohd Zaidi ke HRPZ II untuk menemani kawannya yang kemalangan jalan raya dan pulang ke rumah semula pada jam 2 pagi untuk menukar pakaian kerana hujan.

“Selepas itu, dia keluar semula untuk ke hospital dan saya dimaklumkan oleh rakan-rakannya dia kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli nasi yang tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Katanya, dia reda dengan pemergian anaknya itu dan jenazah Mohd Zaidi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pendek, pada jam 11.30 pagi semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan terbabit.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Jalan Wakaf Che Yeh ke Mulong bersendirian dikatakan gagal mengawalnya sebelum merempuh kereta yang berada di tepi jalan berkenaan.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my