loading...

Friday, April 15, 2011

Sayang Kereta, Terlanggar Cucu


MARANG – Gara-gara ingin mengalihkan kereta ke tempat lebih teduh seorang nenek diselubungi penyesalan sepanjang hayatnya apabila terlanggar cucu sendiri hingga menyebabkan kanak-kanak berumur setahun lima bulan itu meninggal dunia.

Dalam kejadian di kampung Pulau Rusa lebih kurang jam 9 pagi kelmarin, Fatimah Muda, 56, terkejut apabila mendapati cucunya, Izzah Badrinna Mohd Faizul bermain di hadapan kereta lalu ingin memberhentikan kenderaan dengan menekan brek.

Malangnya pedal disangka brek itu rupa-rupanya pedal minyak menyebabkan kereta meluncur ke depan.

Akibatnya, kenderaan jenis Proton Saga automatik yang dipandu terlanggar cucunya sendiri termasuk pasu bunga yang berada di hadapan kereta.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan kanak-kanak kecil yang ketika itu hanya memakai lampin rebah dan cedera di bahagian kepala serta dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Merchang.



Ibu dengar deruman enjin kuat

Walaupun nenek mangsa tidak dapat menahan kesal atas perbuatan yang disifatkannya sebagai kecuaian sehingga meragut nyawa cucunya sendiri namun dia bakal berdepan dengan tindakan undang-undang selain tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Ketika kejadian, ibu mangsa, Liza Abdul Razak, 26, sedang membersihkan kawasan halaman rumah tidak jauh dari rumah keluarga mentuanya iaitu tempat kejadian berlaku.

“Saya sedang membersihkan halaman rumah. Tiba-tiba terdengar bunyi deruman enjin yang kuat dari rumah ayah dan ibu.

“Apabila ke sana, saya dapati anak bongsu saya sudah terbaring di muka pintu betul-betul depan kereta,” katanya kepada Sinar Harian.

Liza berkata demikian ketika menunggu jenazah anaknya selesai menjalani proses bedah siasat di rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Katanya, selepas mendapati Izzah dalam keadaan sedemikian, dia lantas berlari mendapatkan mangsa dan mendapati anak bongsu daripada tiga beradik itu masih bernyawa lalu mendapatkan pertolongan untuk membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Merchang.

“Saya hanya mampu meraung sekuat hati selepas mendapati Izzah tidak lagi bergerak di ribaan saya ketika dalam perjalanan menghantarnya ke klinik.

“Terasa baru sekejap saya tinggalkan arwah bersama dua kakaknya, Murni Atirahy, 7, dan Nor Nadia Farhana, 4, di rumah mentua dan saya masih terasa dia berada depan saya, tetapi dalam sekelip mata juga dia meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya.



Fikiran saya kosong: Bapa

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Faizul Mohamad Nawi, 27, yang bekerja sebagai nelayan hanya mengetahui mengenai kejadian ngeri itu selepas pulang daripada menangkap ikan kira-kira jam 11 pagi lalu bergegas ke HSNZ Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, jenazah anaknya terpaksa ditahan di rumah mayat HSNZ hingga petang kelmarin untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian sebelum dibenarkan dibawa pulang untuk dikebumikan pada malam kelmarin.

“Selepas mengetahui keadaan sebenar anak saya, fikiran saya kosong dan tak mampu berkata apa-apa.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya tambahan pula arwah tidak menunjukkan sebarang perangai ganjil sepanjang minggu ini,” katanya.



Ambil keterangan

Sementara itu, difahamkan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang sudah mengambil keterangan ibu mangsa, Liza dan suaminya, Mohd Faizul serta ahli keluarga lain yang berada di lokasi kejadian semasa jenazah dituntut di HSNZ.

Keterangan diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan kes nenek malang terbabit yang terlanggar cucu sendiri ketika mengalih kenderaan jenis Proton Saga Automatik di hadapan rumahnya di Pulau Rusa di sini.

Sinar Harian juga dimaklumkan keluarga mangsa bahawa polis turut mengambil kenderaan yang kini ditempatkan di IPD Marang untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, pasa-ngan suami isteri itu turut berharap dakwaan terhadap ibu mereka digugurkan kerana mereka sudah memaafkan ibu mereka yang secara tidak sengaja terlanggar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, mengesahkan mengenai kejadian itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8986044.asp

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my