loading...

Thursday, May 2, 2013

2 pelajar Unitar parah




2 Mei 2013
ALOR GAJAH - Empat termasuk dua pelajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan bertembung di Kilometer 213.5 Lebuhraya Utara - Selatan, arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.35 petang itu, van dipandu Khadijah Mohamad, 44, bersama suami, Amjad Javed Ghulam Hussain, 38, hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandu Beatrice Lim Hui Lih, 23, dan rakannya, Yip Lilian, 24.

Van dinaiki pasangan suami isteri itu hilang kawalan dan memasuki kawasan tebing berumput di kiri jalan, namun secara tiba-tiba bergerak menghala ke kanan sebelum masuk ke lorong tengah.

Menurut sumber, kenderaan dinaiki pasangan suami isteri itu dikatakan terhoyong hayang sebelum terbabit kemalangan.

“Van terbabit sudah hilang kawalan beberapa meter dari tempat kejadian. Ketika van berkenaan meluncur masuk ke tengah lebuh raya, muncul kereta dinaiki dua pelajar kolej lalu bertembung," katanya.

Menurutnya, kereta berkenaan kemudian melantun dan terseret ke lorong kecemasan dalam keadaan remuk dan melintang.

“Van itu kemudian berpusing beberapa kali dan terbalik sebelum tersadai di lorong tengah," katanya.

Menurutnya, akibat pertembungan kuat itu, pemandu van berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu, manakala suami mangsa berjaya dikeluarkan orang awam.

“Dalam keadaan lalulintas mula perlahan, pemandu kereta dilihat keluar terhenjut-henjut dari kenderaan, bagaimanapun rakannya tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sebelum dibantu keluar oleh orang ramai," katanya di sini semalam.

Menurut sumber, dua pelajar terbabit yang berada dalam keadaan sedar cuba menahan sakit, sementara  pemandu van terbabit yang masih tersepit dalam keadaan tergamam dibantu keluar oleh anggota bomba dan penyelamat.

Katanya, mangsa yang parah meraung kesakitan namun terpaksa menunggu ambulans yang tiba di tempat kejadian kira-kira 45 minit selepas itu.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Mohd Asraf Abdullah berkata, seramai 14 anggota membabitkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Alor Gajah serta dua Unit Gerak Pantas Bermotosikal bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dan terpaksa menanggalkan pintu van dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum diberikan rawatan awal di tempat kejadian," katanya.

Dalam pada itu, mangsa, Beatrice Lim ketika ditemui berkata, mereka dalam perjalanan pulang ke kolej di Kampar, Perak, selepas menghabiskan cuti hari pekerja di rumah keluarganya di Batu Pahat.

“Saya terkejut apabila van berkenaan dari tebing berumput dengan tiba-tiba pusing dan menghala ke arah kereta saya tanpa saya sempat tekan brek menyebabkan kenderaan kami bertembung secara berdepan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-bertembung-4-parah-1.155992



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my