Tuesday, April 30, 2013

Ketua Puteri Umno Tenggara cedera




29 April 2013
KOTA TINGGI - Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tenggara, Anita Murad, yang juga kakak kepada pelawak dan pelakon terkenal tanah air, Mamat Sepah, cedera dalam kemalangan di Kilometer 33.6 Jalan Kulaijaya - Kota Tinggi, petang semalam.

Anita, 36, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut Mamat, kakaknya yang memandu kenderaan pacuan empat roda bersama dua rakannya, cedera di bahagian kepala dan bahu, namun keadaannya tidak membimbangkan.

Bagaimanapun seorang daripada rakannya yang juga setiausaha Pergerakan Puteri UMNO bahagian Tenggara, Nor Alohan Abd Ghani, 36, cedera parah di bahagian kepala manakala seorang lagi rakannya, Zaliza Mohd Dahan, 35, mengalami kecederaan di bahagian kaki.

“Syukur Alhamdulillah, kakak dan rakannya semuanya selamat, terima kasih kepada petugas Hospital Kota Tinggi (HKT) termasuk jentera BN Tenggara khususnya calon BN bagi Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang banyak membantu dan mengambil berat sepanjang kami berada di bilik kecemasan,” katanya ketika ditemui di HKT di sini, semalam.

Halimah yang tiba di HKT pada kira-kira pukul 6.30 petang meluangkan masa kira-kira sejam untuk melawat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa.

“Harapan saya semua pihak akan mendoakan kesejahteraan mangsa," katanya yang ditemui di HKT di sini.

Dalam nahas kira-kira pukul 6 petang itu, difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke Kulaijaya sebaik selesai membantu kempen pilihan raya umum di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Mohd Nor Rasid yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Gen2 yang datang dari arah Kulaijaya cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal sebelum bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pergeseran, kereta Gen2 itu berpusing dan terhenti di tengah jalan sebelum dirempuh oleh mangsa yang gagal mengelak dam melanggar penghadang jalan.

"Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke HKT untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Pakar Jalan Abdul Samad, Johor Bahru,” katanya. - Bernama




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount