loading...

Friday, August 24, 2012

Viva Dirempuh Pacuan Empat Roda



24 Ogos 2012
 ALOR GAJAH - Dua sahabat berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang mereka naiki dirempuh pacuan empat roda di Jalan Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Perodua Viva berkenaan dipandu Zaini Samian, 27, bersama rakan sekerjanya, Asyraf Jasni, 24, dari arah Pengkalan Balak menuju ke pekan Masjid Tanah.

Difahamkan, pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun dari arah Pekan Masjid Tanah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh tepi Perodua Viva yang cuba mengelak.

Menurut Zaini, ketika kejadian dia dan rakannya baru keluar dari selekoh berkenaan untuk bersarapan di pekan.

“Apabila masuk sahaja ke jalan besar pacuan empat roda itu semakin memasuki laluan saya, namun tidak sempat mengelak.

“Disebabkan jarak semakin dekat, bahagian kiri sebelah penumpang tetap terkena rempuhan itu,” katanya.

Katanya, dia yang terkejut dengan rempuhan itu bergegas keluar dari kereta bersama rakannya yang cedera ringan di kaki kiri akibat terkena pintu kereta yang remuk teruk.

“Saya lihat pacuan empat roda berkenaan sudah berhenti di satu lorong kecil dan mendapati pemandu dan penumpangnya tidak apa-apa. Mujur juga ketika kejadian tiada kenderaan lain,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Samsul Malah, 30 tahun, yang memandu di belakang kereta berkenaan berkata, dia bernasib baik kerana sempat mengelak dari turut dirempuh pacuan empat roda terbabit.

“Saya dalam perjalanan ke pekan Masjid Tanah untuk membeli barang dari Hospital Kem Terendak menyedari kehadiran pacuan empat roda dari arah bertentangan yang tiba-tiba memasuki laluan mangsa.

“Melihat Perodua Viva itu hampir hilang kawalan, saya segera memperlahankan kenderaan dan berhenti di tebing jalan untuk membantu mangsa,” katanya, semalam.

Sementara itu, ketua operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Alor Gajah, Mohd Shahril Anuar Abd Rauf berkata, mangsa diberi rawatan kecemasan di lokasi kejadian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tidak-sempat-elak-rempuhan-1.78661


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my