loading...

Thursday, August 2, 2012

Gara-gara mengelak lembu



Inalillahi wainailaihi rojiun  

GEMENCHEH, Gemas – Seorang lelaki merayu hampir 15 minit meminta tolong membawa anak dan isteri yang parah ke klinik kesihatan selepas terbabit kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, kereta dipandu Mohd Maslani Mahat, 40, berpusing tiga kali kerana mahu mengelak lembu yang terbaring di tengah jalan di Kilometer 5, Jalan Gemencheh-Bukit Rokan, di sini, malam kelmarin.

Kemalangan itu menyebabkan anak bongsunya, Asrul Hakimi, 5, yang duduk di tempat duduk belakang tercampak ke hadapan kereta.

Asrul Hakimi disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Gemencheh akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

Dalam pada itu, Mohd Maslani berkata, dia terkilan kerana tiada sesiapa yang sudi membantu membawa anak dan isterinya ke klinik berhampiran.

"Ketika itu, orang ramai sudah mula berhentikan kenderaan mahu melihat kemalangan dan hampir 15 minit saya merayu minta tolong, tetapi tiada siapa mahu membantu.

"Mujur ada seorang pakcik yang simpati dengan kami. Pada mulanya dia menaiki motosikal tetapi sanggup pulang ke rumah mengambil kereta untuk menghantar anak dan isteri saya yang parah mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di Hospital Tampin, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama isteri, Nazira Abu Bakar, 37, dan empat anaknya dalam perjalanan dari Felda Jelai menuju ke pekan Gemencheh.

"Anak bongsu beria-ia mahu makan sate. Kami sudah pun berbuka puasa di rumah, tetapi tetap mahu menunaikan keinginan arwah untuk makan sate.

“Namun ketika tiba di lokasi kejadian, saya tidak sempat mengelak lembu yang rebah di tengah jalan selepas dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kancil," katanya.

Mohd Maslani berkata, dia merempuh lembu berkenaan dan menyebabkan keretanya berpusing.

"Sehingga kini, saya masih belum beritahu isteri mengenai kematian anak bongsu.

"Keadaannya belum stabil kerana cedera parah dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Gemencheh, sementara isteri mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, Nazira mengalami kecederaan parah di kepala dan muka.

"Pemandu kereta jenis Perodua Kancil, Sa’ari Idris, 51, tidak mengalami kecederaan dan anaknya, Nor Syafinas Sa’ari, 24, patah tangan kanan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tampin.

“Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak terbabit tidak memakai tali pinggang keledar di kerusi belakang.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan pemakaian tali pinggang keledar di kerusi belakang bagi mengelak risiko kecederaan parah ketika berlaku kemalangan.


Al-Fatihah


Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/15-minit-mangsa-rayu-bantuan-1.72769

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my