loading...

Friday, July 27, 2012

2 Sahabat Bertembung Sesama Sendiri



Inalillahi wainailaihi rojiun

KEMAMAN – “Beberapa hari lalu iaitu pada awal Ramadan, dia beritahu saya hari raya tahun ni dia mahu beli baju raya cepat,” kata seorang ibu, Zaidah Ali, 42, yang tidak menyangka hasrat yang diluahkan itu menjadi petanda akan kehilangan insan tersayang.

Ini kerana, anaknya bersama rakan baiknya maut dalam kemalangan di Jalan Pantai Teluk Kalong, Kijal, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

Mohamad Qusyairi Mukhlis Mohamad Ghazali, 15, yang beralamat di Jalan Pupuk Semangat Teluk Kalong meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kemaman (HK) sementara rakan baiknya, Azmi Ikwan Alias, 17, mati di tempat kejadian sejurus motosikal ditunggangi mereka bertembung sesama sendiri.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, selain luka di lengan kanan serta patah kaki kanan.

Zaidah berkata, selain menyuarakan hasrat untuk membeli baju raya awal, anak kedua daripada tiga beradik, Mohamad Qusyairi turut meluahkan hajat untuk membeli pakaian raya berkenaan di Kuantan dan bukan di Kemaman.

“Arwah juga beritahu saya bahawa pada 29 Julai depan, dia akan duduki peperiksaan percubaan PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan apabila peperiksaan selesai, dia mahu berehat di rumah serta tidak mahu ke sekolah, selain hanya mahu ke sekolah bila habis bulan puasa.
“Namun, walaupun dia berkata begitu, tidak terlintas dalam hati saya dia akan ‘pergi’,” katanya yang terkejut apabila dihubungi kira-kira jam 8.45 malam dimaklumkan mengenai tragedi membabitkan anaknya itu.
Kira-kira setengah jam sebelum kejadian, Mohamad Qusyairi keluar dari rumah selepas berbuka puasa untuk menghantar abangnya ke tempat kerja di kafe Kolej Universiti TATI (TATiUC).
Ibu terkilan tak sempat beli motosikal

Sementara itu, ibu Azmi Ikwan, Juriah Mohamad, 50, melahirkan rasa terkilan kerana tidak sempat menempah baju Melayu untuk digayakan anaknya yang juga pelajar jurusan kimpalan di sebuah institut kemahiran pada Aidilfitri nanti.

“10 hari sebelum Ramadan, arwah ke Bandar Chukai bersama saya untuk membeli telefon bimbit dan alang-alang sudah ke bandar, saya cadangkan kami pergi ke kedai jahit untuk tempah baju Melayu serta ambil ukuran badan.

“Tapi kami tak sempat berbuat demikian kerana arwah terlalu asyik memilih telefon bimbit dan akhirnya membeli telefon model Sambung Galaxy dengan wang gajinya, kerana sepanjang cuti semester dia bekerja sambilan di Kompleks Bekalan Kemaman (KSB),” katanya menahan rasa sedih.

Azmi Ikwan yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik sedang cuti semester dan akan memulakan pengajian semester kedua pada 29 Julai depan.

Juriah berkata, dia juga sayu kerana tidak sempat membelikan sebuah motosikal buat arwah kerana anaknya sebelum ini beria-ia memintanya membeli kenderaan itu untuk kemudahannya belajar.

“Pada Ahad lalu, saya janji akan belinya sebuah motosikal dan minta dia bersabar. Macam mana sekalipun, saya kata padanya dia akan dapat motosikal sebelum raya nanti. Arwah nampak sangat gembira bila saya cakap begitu dan sejak itu dia tidak tanya lagi perihal motosikal,” katanya ketika diziarahi.

Menurutnya, walaupun agak terkilan kerana tidak sempat menjahit baju Melayu dan menghadiahkan motosikal buat anaknya itu, namun sekurang-kurangnya dia dapat melihat keriangan di wajah anaknya itu apabila hasratnya untuk memiliki telefon bimbit baru menjadi kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat kedua-dua mangsa dituntut ahli keluarga masing-masing pada jam 1 pagi sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Teluk Kalong kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, dipercayai ketika kejadian, Mohamad Qusyairi yang menunggang motosikal bapanya dan Azmi Ikwan yang menunggang motosikal kawannya dalam perjalanan menghala laluan bertentangan serta menunggang laju sebelum bertembung sesama sendiri.

“Hasil pemeriksaan, punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah di kepala,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tak-sempat-pakai-baju-raya-1.70245

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my