loading...

Monday, March 5, 2012

Padah Melawan Arus

Inalillahi wainailaihi rojiun

SHAH ALAM 4 Mac - Seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada sekatan polis secara melawan arus maut setelah merempuh sebuah kereta di Persiaran Masjid di sini awal pagi ini.

Dalam kemalangan pukul 2.15 pagi itu, mangsa, Aidil Hamidi Ismail, 33, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta itu datang dari arah Bulatan Setia Jasa dan dipercayai cuba berpatah balik di laluan bertentangan selepas menyedari sekatan polis kira-kira 200 meter di hadapan.

Ekoran daripada tindakan itu, mangsa dipercayai telah merempuh kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia lingkungan 20-an.

Mangsa disahkan mati di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat manakala mayatnya telah dituntut keluarganya dari Negeri Sembilan hari ini.

Ketua Operasi Ops Samseng Jalanan, Penguat Kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Supritendan Hambazi Abd. Rahmat ketika ditemui selepas operasi itu berkata, kejadian terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu, Hambazi berkata, ia dijalankan bermula pukul 1.30 pagi ini dan berakhir kira-kira satu jam kemudian.

Hasil daripada operasi itu, pihaknya telah memeriksa lebih 250 motosikal dan beberapa pelajar sekolah antara yang turut ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam sekatan jalan raya itu.

"Sebanyak 115 saman dikeluarkan dan sembilan motosikal turut disita membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, tiada cukai jalan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lampu brek, pemandu kereta tidak memakai tali pinggang keledar dan tiada brek ketiga.

"Kebanyakan penunggang motosikal yang didapati melakukan kesalahan berusia 16 tahun hingga 20-an," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my