loading...

Friday, February 17, 2012

Jurulatih Silat Nyaris Maut



MARANG – Anak Hakim Mahkamah Tinggi Terengganu dan rakannya nyaris maut apabila kereta dipandunya terbalik selepas terbabas apabila cuba mengelak dua buah kenderaan di Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Rhu Renggeh dekat Bukit Chendering di sini.

Mangsa, Hayder Amin Datuk Mohd Yazid, 18, berkata, ketika kejadian antara jam 7.40 hingga 7.50 malam kelmarin, dia dalam perjalanan dari Kemaman ke Kuala Terengganu selepas selesai mengajar silat kepada pelajar di sebuah sekolah pondok di Kerteh.

Katanya, sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba sebuah kenderaan membuat pusingan U lalu dia mengelak sebelum sebuah lagi kenderaan keluar simpang menyebabkan kenderaan dipandu terbabas ke kanan jalan sebelum terbalik di jalan bertentangan.

“Saya tidak sempat brek apabila kereta itu tiba-tiba muncul sebelum sebuah lagi keluar simpang. Saya hanya sempat mengelak menyebabkan kereta ini terbabas lalu merempuh pasu bunga di atas pembahagi jalan sebelum terbalik dan berada di jalan bertentangan.

“Kami bernasib baik dan bersyukur kerana terselamat. Saya tidak mengalami sebarang kecederaan manakala rakan saya, Ikran Rafaer (18) hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Tinjauan mendapati, rempuhan kuat juga menyebabkan serpihan pasu bunga bertaburan di atas jalan raya manakala kereta jenis Perodua Kelisa dipandu Hayder tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan teruk di bahagian enjin termasuk satu tayar kereta tercabut.

Bapanya, Datuk Mohd Yazid Mustafa turut kelihatan di lokasi kejadian kira-kira setengah jam selepas kejadian.

Dalam pada itu, anak keempatnya itu juga mendakwa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Marang, Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu semalam, namun beliau berkata, kejadian itu masih dalam siasa­tan­ pihaknya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/anak-hakim-mahkamah-tinggi-nyaris-maut-1.24608

  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my