loading...

Monday, July 25, 2011

Dua Beranak Maut Rempuh Jentolak

Al-Fatihah..

MARANG - Sarapan nasi minyak dan gulai ayam menjadi juadah terakhir disediakan seorang ibu saudara kepada anak saudaranya apabila kanak-kanak berusia lapan tahun itu menemui ajal bersama bapanya dalam satu kemalangan di sini, petang kelmarin.

Dua beranak yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka maut selepas kenderaan mereka merempuh bahagian belakang sebuah jengkaut yang diletakkan di tepi kiri jalan di Kilometer 52 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan di Kampung Jambu Bongkok, di sini.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, pemandu kereta Kia Picanto, Wan Shaari Zakaria, 50, dan anak lelakinya Wan Shakifri, 8, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Putih, hanya beberapa kilometer dari tempat kejadian.

Wan Shaari yang juga pengurus sebuah syarikat binaan swasta dan anaknya, Wan Shakifri, murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, Jambu Bongkok, maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada bahagian dalam anggota badan.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dikatakan sedang mencari sesuatu di dalam keretanya sebelum terbabas ke kiri jalan lalu merempuh bahagian belakang jengkaut tersebut.


Sebelum itu, adik mangsa, Zalina Zakaria, 43, yang juga merupakan ibu saudara kepada Wan Shakifri berkata, abang dan anak saudaranya itu keluar dari rumah mereka kira-kira jam 2 petang untuk membawa Wan Shakifri mengunting rambut di Bandar Dungun.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 6 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama isteri arwah, Arizawati Azlina Arifin, 32, yang baru sahaja menimang cahaya mata keempat keluarga itu kira-kira lima bulan lalu.

“Saya juga tidak menyangka sikap Wan Shakifri yang sebelum ini suka bergurau bersama kami bertukar menjadi pendiam dan tidak mahu menjawab pertanyaan sehingga membuat ibunya bingung dan marah, menandakan arwah akan pergi selama-lamanya,” katanya.

Zalina yang tinggal bersama keluarga abangnya berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di rumah keluarga mereka di Kampung Pasir Putih, Jambu Bongkok selepas kejadian itu.

Zalina berkata, arwah abangnya pula tidak menunjukkan sebarang tanda dan kelakuan berbeza daripada biasa sebelum kejadian, tetapi bersikap pendiam berkemungkinan terlalu letih disebabkan urusan kerjanya dan baru pulang dari Kuala Lumpur.

“Arwah ke Kuala Lumpur atas urusan kerja pada Khamis lalu sebelum tiba di rumah semula pada awal pagi Sabtu kita-kira jam 3 pagi, iaitu kira-kira 12 jam sebelum membawa anak lelaki kesayangannya itu ke Bandar Dungun untuk menggunting rambut,” katanya.

Menurutnya, arwah meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia lima bulan hingga 14 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam, mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.



Sumber: Sinar Harian
             The Star

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my