loading...

Wednesday, June 11, 2014

Tak sempat ke tingkatan enam


11 Jun 2014
PALONG - Bakal pelajar tingkatan enam tidak sempat menyambung pelajarannya di sebuah sekolah dekat sini, selepas maut bertembung seorang warga emas di simpang tiga Felda Palong Dua, lewat petang kelmarin.

Mangsa, Muhammad Syafiq Sukri, 18, dan peneroka Felda, Hassan Yaakob, 58, menunggang motosikal secara berasingan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Bapa mangsa, Sukri Md Rashdi, 42, berkata, sepanjang hayat anaknya itu lebih suka berdikari dan tidak pernah menyusahkannya sekeluarga.

“Dia berhenti kerja di sebuah stesen minyak kira-kira tiga minggu lalu kerana ingin menyambung pelajaran di tingkatan enam pada Isnin depan di sekolah menengah dekat Felda Palong 4, 5 dan 6.

“Segala kelengkapan persekolahan sudah dibelinya sendiri hasil wang gajinya, namun arwah tidak sempat menyambung pelajaran,” katanya.

Manakala anak warga emas, Hafinday Hassan, 33, berkata, kali terakhir dia bertemu ayahnya pada Sabtu lalu di Lukut, Port Dickson ketika menghadiri majlis kenduri kahwin sepupunya.

“Namun, ketika itu arwah nampak lebih pendiam dan mengasingkan diri. Kebiasaannya arwah suka melawak, kali ini berbeza sedikit, namun kami sama sekali tidak menyangka ia petanda arwah akan meninggalkan kami semua.

“Difahamkan, ayah keluar lewat petang semalam (kelmarin) semata-mata untuk membeli jagung ayam di kedai runcit,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Jempol, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Hamzah Alias berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7.30 malam kelmarin, kedua-dua mangsa ini menunggang motosikal secara berasingan.

“Berdasarkan siasatan awal pihak polis, mangsa iaitu Hassan Yaakob menunggang motosikal jenis Honda keluar dari simpang membelok ke kanan jalan.

“Dalam masa sama, datang sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditunggang mangsa, Muhammad Syafiq yang sedang jalan lurus, lalu berlaku perlanggaran antara kedua-duanya.

“Akibat perlanggaran tersebut, kedua-dua mangsa tercampak atas jalan dan mengalami cedera parah di kepala, seterusnya maut di tempat kejadian. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Difahamkan, orang ramai cuba menyelamatkan mangsa dengan membawanya ke Klinik Kesihatan Felda Palong 4, 5 dan 6, namun gagal susulan mangsa disahkan maut di lokasi.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tak-sempat-ke-tingkatan-enam-1.288981



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my