loading...

Saturday, May 10, 2014

Kru Pengiklanan Maut



10 Mei 2014
KUALA LIPIS - Hasrat tiga kru untuk membuat penggambaran iklan di Kelantan tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut kemalangan di Kilometer 28, Jalan Kuala Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Kechau Tui di sini, kelmarin.

Goh Yeng Liang, 22, yang merupakan pemandu van dan penumpang bahagian belakang, Chin Kuek Min, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 4 petang itu dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menuju ke Merapoh.

“Sampai di tempat kejadian, van yang dipandu Yeng Liang bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, van berkenaan terbalik di sebelah kiri jalan menghala ke Merapoh manakala pacuan empat roda berpusing beberapa kali sebelum masuk ke sebelah kiri jalan hala yang sama,” katanya.

Abdul Razak berkata, seorang lagi penumpang van berserta pemandu pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati keadaan jalan raya lurus, cuaca baik dan pandangan tidak terhalang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/dua-kru-pengiklanan-maut-1.278736


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my