loading...

Sunday, April 13, 2014

Bertembung di selekoh



13 April 2014
MERLIMAU - Seorang pemuda maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya, bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 26 Jalan Jasin Merlimau, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, mangsa Mohd Syafiq Abdul Latif, 24, dipercayai dalam perjalanan ke bandar Melaka berseorangan, dari arah Merlimau ke Jasin sebelum terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas yang membawa seramai 20 penuntut sebuah institut pengajian tinggi (IPT).

Menurut sumber, mangsa yang mengalami cedera parah di kepala maut di tempat kejadian, manakala pemandu bas berusia 47 tahun bersama 20 penumpangnya terselamat.

“Difahamkan bas itu disewa IPT berkenaan untuk membawa penuntutnya mengikuti rombongan, namun sebaik tiba di lokasi, kenderaan terbabit bertembung dengan kereta dipandu mangsa yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa maut tersepit dan mayatnya dikeluarkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, bomba menerima panggilan kira-kita jam 10.38 malam dan tiba di lokasi pada jam 10.45 malam.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau dikejarkan ke lokasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Yahya Ahmad bersama dengan kekuatan enam anggota.

“Sebaik tiba didapati pemandu kereta Proton Wira itu tersepit di tempat duduknya dan kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mohd Nur Hishamudin Hashim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan ketika melalui laluan berselekoh, lalu terbabas sebelum merempuh bas dipandu seorang lelaki bersama 20 penumpang.

“Rempuhan mengakibatkan mangsa tersepit dan parah di kepala sebelum disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemuda-maut-tersepit-1.269943




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my