loading...
Wednesday, April 10, 2013
Warga emas maut basikal dilanggar lori
10 April 2013
KOTA BHARU - Seorang warga emas maut apabila basikal yang ditungganginya dilanggar sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Panji di Jalan Raja Perempuan Zainab II di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian yang berlaku pada jam 4.55 petang tersebut menyebabkan mangsa, Hamzah Abu Bakar, 69, mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.
“Mangsa yang menunggang basikal dari arah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) itu dikatakan cuba menyeberang ke kanan jalan dan membuat pusingan U.
“Ketika mangsa berbuat demikian sebuah lori dari arah lampu isyarat Panji menghala ke arah Pengkalan Chepa merempuhnya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Menurutnya, mayat mangsa yang bekerja sebagai tukang kebun di JPJ Panji itu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sebelum diserahkan kepada keluarganya.
Beliau berkata, mangsa berasal dari Kampung Beris Pauh Sembilan, Tawang, Bachok.
Sementara itu, seorang penduduk, Jayaraman Karappan, 63, berkata, ketika kejadian berlaku dia sedang berehat di dalam kedainya dan dikejutkan dengan bunyi geseran.
“Saya keluar dari kedai dan terkejut melihat tayar di sebelah kanan lori tersebut berada di atas separuh badan mangsa,” katanya.
Menurutnya, ia merupakan kali pertama kemalangan maut berlaku di kawasan tersebut semenjak dia berniaga di sini 30 tahun lalu.
“Sebelum ini kalau ada kemalangan pun hanyalah yang ringan sahaja,” katanya.
Jayaraman menunjukkan tempat kejadian di mana Hamzah maut apabila basikal ditungganginya dilanggar lori kecil.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/warga-emas-maut-dilanggar-lori-1.148353
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment