loading...

Thursday, November 22, 2012

Kemalangan di hadapan Klinik Guar Chempedak


22 November 2012
SUNGAI PETANI - Hasrat sepasang suami isteri warga emas untuk menghadiri jemputan majlis kenduri tidak kesampaian apabila salah seorang daripadanya mengalami kecederaan serius akibat dilanggar sebuah lori treler dari arah belakang.

Mangsa, Su Long, 58, berkata, sebelum kejadian, suaminya, Mohd Sukor Ariffin, 74, baru sahaja memberhentikan kereta di hadapan Klinik Kesihatan Guar Chempedak untuk membuat pemeriksaan bahagian luka di tangan akibat kesan gigitan haiwan.

Katanya, mereka yang baru sahaja keluar dari rumah dekat Kampung Titi Teras, Yan berhasrat untuk menuju ke rumah kenduri di Kota Sarang Semut selepas suaminya selesai mencuci bahagian luka tersebut.

“Sebelum kejadian, saya sedang menghantar khidmat pesanan ringkas sebelum terdengar bunyi hon dari sebuah lori di belakang.

“Belum sempat lagi menoleh, saya dirempuh lori terbabit menyebabkan kereta yang dinaiki berpusing beberapa kali sebelum terhenti akibat terkena pembahagi jalan,” katanya ketika ditemui di
Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani, kelmarin.

Su berkata, dia yang berada di tempat duduk penumpang hadapan terpelanting sehingga ke tempat duduk pemandu sementara kakinya tersepit di bawah stereng.

“Akibat terkejut, saya hanya mengucap sambil menjerit meminta tolong daripada orang awam yang menyaksikan kejadian,” katanya.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 10.00 pagi Ahad lalu itu berlaku apabila lori treler yang datang dari arah sama, Jalan Sungai Petani ke Alor Setar merempuh kereta mereka yang diletakkan di bahu jalan.

“Walaupun masih sakit di beberapa bahagian badan seperti leher, belakang dan kaki tetapi saya tetap bersyukur kerana masih sedarkan diri sehingga kini,” katanya yang masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Mohd Sukor berkata, sebaik sahaja menyeberang jalan dan memasuki kawasan klinik, dia terdengar bunyi dentuman kuat dan terdengar suara orang menjerit ada kemalangan.

“Apabila berpatah balik ke kereta, saya dapati keadaan isteri tersepit di tempat duduk pemandu dengan bahagian hadapan dan belakang kereta sudah kemek selain cermin hadapan sudah berkecai,” katanya.

Menurutnya, kedudukan keretanya tidak mengganggu perjalanan lalu lintas pengguna lain kerana laluan sedia ada masih muat untuk dilalui namun tidak menyangka bagaimana lori terbabit boleh melanggar keretanya yang telah berhenti di tepi jalan.

Katanya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daerah Yan kelmarin.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/nyaris-maut-depan-klinik-1.105908


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my