loading...

Friday, March 30, 2012

Ahli Majlis MPSP Maut Dirempuh Lori


 Inalillahi wainailaihi rojiun  

KEPALA BATAS - Seorang Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) maut selepas dirempuh sebuah lori membawa ais kiub di Pokok Sena di sini, kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Bakhtiar Appandi Yahya, 56, maut di tempat kejadian ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sena melalui jalan Sungai Dua-Kepala Batas.

Bakhtiar Appandi bapa kepada dua anak berusia 25 dan 29 tahun, yang merupakan bekas kakitangan Kastam Diraja Malaysia dikatakan baru selesai menghadiri mesyuarat peringkat Cawangan Pokok Sena berdekatan kawasan kemalangan sebelum itu.

Difahamkan, pemandu lori itu gagal mengelak mangsa lalu merempuhnya menyebabkan dia terjatuh dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pemandu lori terbabit yang berusia lingkungan 35 tahun kemudiannya turun untuk melihat keadaan mangsa, namun dibelasah orang ramai yang menyaksikan kejadian itu sebelum mereka bertindak membakar lori tersebut.

Pemandu berbangsa India itu cedera parah di beberapa bahagian badan, termasuk kepala dan diselamatkan anggota polis sebelum dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut.

Bakhtiar Appandi, yang juga ahli jawatankuasa PKR Bahagian Tasek Gelugor memegang portfolio trafik, perlesenan dan penguatkuasaan dilantik memegang jawatan itu sejak tahun lalu sebelum disambung semula Januari lalu.

Mayat mangsa dibawa ke HKB untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Banggol dekat sini malam kelmarin.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mansor Othman, Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd Sharif, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Farizan Darus dan beberapa Exco Kerajaan Negeri turut melawat jenazah mangsa di HKB.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Asisten Superintendan Suhami Md Nor ketika dihubungi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut insiden pemandu lori yang parah dipukul orang awam itu kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/ahli-majlis-maut-dirempuh-lori-1.36374

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my