loading...

Friday, May 6, 2011

Maut di Sabak Bernam


SABAK BERNAM – Seorang pemandu dan penumpang yang tersepit maut di tempat kejadian, manakala seorang cedera parah dan seorang lagi cedera ringan apabila kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda di kilometer 43, Jalan Teluk Intan Klang, dekat Tebuk Pulai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu juga, dua penumpang pacuan empat roda cedera parah di kepala manakala pemandunya cedera di bahagian bahu.

Saksi kejadian, Mohd Yusof Dollah, 57, berkata, kereta Toyota Vios dari arah Sungai Besar menuju Sabak Bernam dipercayai membuat pusingan U, ketika pacuan empat roda dan kereta yang dipandunya melalui jalan di lorong pertama dan kedua arah Sabak ke Sungai Besar.

“Sebelum itu, pacuan empat roda berada di belakang kereta saya dan mengubah laluan ke lorong ke dua dan tiba-tiba Toyota Vios itu masuk ke laluan pacuan empat roda dan menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung. Kejadian itu betul-betul berlaku di depan mata.

“Saya hampir terlibat dan percikan kaca kedua-dua kenderaan itu mengenai kereta saya. Saya cuba mengelak sedikit dan Alhamdulillah tidak apa-apa kerana tidak memandu laju. Jika saya memandu laju dan mengelak kemalangan itu, mungkin akan terbabas ke parit berhampiran,” katanya.

Difahamkan, saksi dalam perjalanan pulang dari Pekan Sabak Bernam ke rumahnya di Sungai Limau bersama isterinya, Rosmi Tahir, 52, masih trauma dengan kejadian yang berlaku di depan mata mereka.

Sementara itu, anak kepada pemandu pacuan empat roda, Lim Keh Lun, 25, berkata, ibunya dalam perjalanan menghantar nasi ke tempatnya bekerja sebelum menghantar adik dan seorang lagi rakannya ke pusat tuisyen di Sungai Besar.

“Saya menerima panggilan telefon dari ibu yang separa sedar memaklumkan tentang kemalangan ini. Saya kemudiannya bergegas mencari lokasi kemalangan ini dan setibanya di tempat kejadian, ibu mengadu sakit di bahagian bahu, manakala adik dan rakannya cedera parah di bahagian kepala,” katanya.

Pihak bomba berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit kira-kira jam 8.11 minit malam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohamad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kedua-dua mangsa yang maut tidak dapat dikenal pasti identitinya berikutan tiada pengenalan diri ditemui.

1 comment:

  1. Saya ahli keluarga mangsa dalam Toyota Vios yang terlibat. Mangsa yang meninggal dalam kereta Toyota Vios adalah seorang bekas Leftenan Komander di TLDM dan anak lelaki sulungnya yang berumur 18 tahun. Pemandu kereta adalah anak sulung tersebut yang baru lulus lesen memandu. Kemalangan berlaku sebab anak hilang kawalan kereta, bukan membuat U-Turn. Seorang lagi anak mangsa (16 tahun) terselamat, tetapi cedera parah. Pembantu rumah mereka yang juga berada di dalam kereta semasa kemalangan terselamat dengan cedera ringan. Mereka dalm perjalan dari Subang ke Sitiawan menggunakan jalan lama. Terima Kasih kepada pemilik blog in kerana memaparkan berita di sini.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my