loading...

Tuesday, July 9, 2013

Suami isteri maut terperosok bawah traktor



9 Julai 2013
SUNGKAI - Sepasang suami isteri yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Besout 3, maut apabila kereta yang mereka naiki melanggar belakang sebuah traktor muatan buah kelapa, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku di Jalan Besout, Ladang  Besout, kira-kira 500 meter daripada pondok kawalan polis menyebabkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.



Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superitendan Othman Nanyan berkata, pemandu kereta jenis  Proton Wira dikenali sebagai Mohd Pohari Mulyati, 61, dan isterinya, Siti Sa’idiah Pardi, 58 tahun.

Katanya, kejadian kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu oleh mangsa dalam perjalanan dari arah Sungkai ke Felda Besout 3 sebelum merempuh belakang traktor menyebabkan kenderaan mangsa terperosok di bawah traktor.

“Traktor yang membawa muatan kelapa sawit itu tiada memasang lampu atau pelekat pantulan cahaya menyebabkan mangsa yang dipercayai rabun jauh merempuh belakang kenderaan berat itu.

“Ini ditambah dengan keadaan jalan lurus, tiada lampu jalan serta gelap mengakibatkan mangsa terperosok di bawah traktor itu dan tersebut,” katanya.

Othman berkata, pemandu mengalami kecederaan parah di kepala dan patah di tangan manakala isterinya alami kecederaan parah di kelapa akibat terhentak serta patah di kaki, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat dituntut oleh keluarga mangsa sebelum dikebumikan, tengah hari semalam.

Pihaknya kini sedang mengesan pemandu traktor tersebut yang melarikan diri selepas kejadian kemalangan berlaku, bagi membantu siasatan pihak polis.

“Pihak kami sedang mengesan pemandu kenderaan berat itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Faizal di talian 05-4528 222.

“Kami masih menyiasat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim, Md Zin Mohd Saaidin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang  awam pada jam 9.36 malam dan tiba pada jam 9.56 kerana lokasi kejadian berlaku kira-kira 25 kilometer  daripada balai.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, pihaknya mendapati mayat mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Seterusnya, pemantauan  di lokasi kejadian dijalankan oleh Pegawai Operasi , Mohd Ehsan Mohd Ibrahim serta anggotanya di tempat kejadian dan operasi selesai pada jam 10.25 malam semalam," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/maut-rempuh-belakang-traktor-1.180595




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my