loading...

Wednesday, December 7, 2011

Pensyarah Terselamat Kereta Terbakar


KUALA LIPIS - Seorang pensyarah di sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta di sini nyaris maut apabila kereta yang dinaikinya terbakar ­selepas bertembung dengan ­sebuah lori muatan penuh, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu, mangsa, Nur Syahila Muhammad Salleh, 26, memandu kereta jenis Proton Pesona dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuala Lipis.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian di Kilometer 13 Jalan Lipis-Benta, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori muatan penuh yang membawa barangan untuk Pasar raya Mydin.

“Selepas bertembung dengan lori tersebut, kereta mangsa dipercayai melantun ke atas sebelum berpusing beberapa kali di atas jalan raya.

“Ketika pertembungan antara dua kenderaan itu, dipercayai berlaku kebocoran gas di bahagian enjin kereta Persona milik mangsa dan menyebabkan berlaku kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, sebuah kereta jenis Perodua Alza yang sedang mengekori kereta mangsa juga tidak dapat mengelak dan melanggar bahagian belakang Pesona itu.

“Orang awam yang melihat keadaan cemas itu bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kereta dan sejurus selepas itu berlaku letupan dari kereta mangsa.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan organ dalaman serta dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Abdul Razak berkata, individu yang menyelamatkan mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian badan selain tersedut gas karbon monoksida dan dihantar ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta berhubung dengan Inspektor Johnny anak James Bujang menerusi talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my