loading...

Saturday, October 1, 2011

Video Kemalangan September 2011

Kemalangan Raya Kedua Spg4 Pdg Kerasak Naka




Kemalangan Jambatan KTMB Asam Kumbang



MetronewsKL - Berita - Krew berita ntv7 bantu mangsa kemalangan.




Kemalangan Penyeludup Minyak




Awang Jabar Maut Kemalangan




KEMALANGAN DI SIMPANG EMPAT TRAFIK LIGHT PEKAN LUNAS, KEDAH (21 SEPTEMBER 2011)




20.09.2011(kemalangan di Cherating)




Kemalangan di atas Jambatan Sultan Yusuff - Ahad 19hb Sept 2011 - 6.05ptg




Kemalangan di antara treler dan wira sebelum susur keluar ke Nibong Tebal




Kemalangan Maut Jururawat Wanita.




Kemalangan yg Tragis




OPS Sikap ke-24 selama 15 hari sempena Aidifitri

Maut Terperosok Belakang Lori Balak


 Salam Takziah

MARANG – Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke rumah keluarganya di Taman Semarak, Kuala Terengganu terbunuh selepas kereta dipandunya terbabas, sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori balak yang diletakkan di tepi kiri jalan di sini.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang, di Batu 10, Jalan Kuala Berang ke Kuala Terengganu itu, mangsa, Khoo Phang Lip, 32, maut di tempat kejadian berikutan kecederaan parah pada bahagian kepala, patah paha kanan dan tangan kiri.

Pemandu lori, Abdul Rahman Muda, 57, yang ditemui di tempat kejadian berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumah keluarganya tidak jauh dari tempat kejadian sebelum bertolak ke Kuantan untuk menghantar muatan kayu balak tersebut.

“Saya terkejut dengar bunyi satu dentuman kuat seperti bom meletup dan apabila keluar dari rumah saya mendapati sebuah kereta melanggar bahagian belakang lori lalu bergegas ke tempat kejadian dan menghubungi polis dan bomba,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana keadaan kereta yang terperosok di bahagian belakang lorinya menyukarkan orang ramai untuk membantu, malah keadaan pemandunya juga tidak dapat dipastikan kerana cermin kereta mangsa agak gelap.

Dalam pada itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Marang diketuai Pegawai Kanan Dua, Nik Mat Ali terpaksa mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa yang terperosok di belakang lori balak tersebut.

Nik Mat berkata, pihaknya terpaksa menggunakan pemotong hidraulik untuk memotong bahagian pintu dan bumbung kenderaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan turut dibantu pihak polis serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudiannya dibawa ke bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat manakala kenderaan dipandu mangsa dan lori balak tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Marang untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan.

Sumber : Sinar Harian
               Utusan Malaysia

Friday, September 30, 2011

Tip Keselamatan Tayar Kenderaan


Permukaan Tayar

Ia adalah bahagian utama tayar iaitu permukaan atasnya yang menyentuh permukaan jalan raya. Permukaan atasnya adalah bahagian kenderaan yang perlu memikul bebanan sehingga 50% berat keseluruhan kenderaan.

Bukan saja pemilihan tayar yang dilakukan perlu bersesuaian, aspek penyelenggaraan perlu dititik berat bagi memastikan tayar yang digunakan sentiasa dalam keadaan baik.

Ketebalan Tayar


Ketebalan tayar memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan pengguna di jalan raya. Ia kerana permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan raya dapat menjamin cengkaman pada jalan raya. Pada masa sama, tekanan angin tayar perlu konsisten pada bacaan yang ditetapkan. Ia dapat memastikan jarak lebihan apabila kenderaan dibrek.

Tukar tayar kenderaan sebelum benang permukaannya haus atau nipis pada ukuran 1.6 millimeter. Bagi memudahkan pengguna mengetahui ketebalan tayar bersesuaian dengan ukuran yang tepat, Michelin membangunkan tayar yang dilengkapi dengan penentu ukuran ketebalannya.


Tayar Belakang

Ia adalah bahagian yang tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan stereng kenderaan. Oleh demikian, tindak balas yang ditunjukkan tayar belakang sukar diramalkan khususnya dalam situasi mengejut.

Pemilik kenderaan dinasihatkan sentiasa membuat pemeriksaan angin tayar dan struktur keupayaanya. Tekanan angin perlu mengikut ukuran yang ditetap, di mana ia berbeza untuk bahagian depan dan belakang.


Keseimbangan Tayar

Tayar yang seimbang dapat menggelakkan getah permukaannya cepat haus. Ia berperanan memastikan berat kenderaan diagihkan secara seimbang menerusi keempat-empat tayarnya. Selain itu, ia mengurangkan gegaran ketika pemanduan dan seterusnya menjamin keselesaan pengguna.

Pastikan keempat-empat tayar yang digunakan pada sentiasa seimbang bagi menjamin keselamatan & keselesaan pengguna jalan raya.


Tekanan Angin

Ukuran tekanan angin tayar yang tepat memastikan kawalan kenderaan lebih cekap dan efisien pada setiap masa.

Masalah bunga tayar cepat haus dapat dielakkan sekiranya tekanan anginnya dititik beratkan. Tekanan angin tayar yang rendah meningkatkan risiko untuk ia cepat rosak. Penggunaan angin berlebihan sehingga 20% memendekkan jangka hayatnya sehingga 10,000 kilometer sejam.

Buat pengetahuan pemilik kenderaan, tekanan angin yang tepat dapat menjimatkan penggunaan bahan api kenderaan.

Tekanan angin tayar termasuk tayar kelima perlu diperiksa setiap bulan atau sebelum perjalanan jauh. Ukuran tekanan angin tayar lebih tepat jika ia diambil dalam persekitaran sejuk. Ia kerana berat tayar bertambah antara 4-5 psi apabila panas.



Penutup Angin

Penutup angin tayar kenderaan dibangunkan daripada bahan berasaskan getah. Bahagian saluran bagi pengisian angin tayar penting dan perlu dipastikan saluran laluan angin ditutup setiap masa.

Tukar penutup angin setiap kali tayar ditukar. Ia adalah proses yang tidak mahal and kaedah itu hanya menggunakan kos rendah.


Keselarian Tayar

Pastikan tayar dan kenderaan sentiasa dipasang dalam keadaan selari. Sekiranya geometri suspensi kenderaan tidak mengikut ukuran yang ditetapkan, ia akan membahayakan keselamatan pemandu.

Bagi memastikan penggendalian kenderaan lebih cekap, perlindungan tayar lebih berkesan dan jaminan penjimatan minyak, Michelin mencadangkan sentiasa lakukan pemeriksaan keselarian khususnya jika keseimbangan tayar mula terjejas.




Membaiki Tayar


Langkah pertama yang perlu diambil bagi memperbaiki kerosakan tayar adalah dengan mendapatkan khidmat profesional. Ia kerana, keadaan sebenar bahagian dalam tayar dan kerosakan pada segmen itu hanya dapat ditentukan profesional. Selain itu, proses memperbaiki tayar perlu menggunakan bahan yang tepat, di mana ketepatan saiznya juga penting.

Bagi memastikan cadangan yang diberikan berhubung keadaan tayar tepat, pemilik kenderaan disaran mendapatkan khidmat pihak profesional.

Sumber: http://175.41.130.6/sites/michelinmalaysia/beritaharian/tipskeselamatan.html

Puisi Terakhir Dari Suami

 Foto dari akhbar Utusan Malaysia

Inalillahi wainailaihi rojiun

LUMUT: SMS berbunyi ‘kutitiskan warkah buat diriku sendiri, hidup tanpa kasih dan sayang umpama hidup di padang pasir yang gersang’ diterima suri rumah, Che Wan Kamsah Ahmad Jaluddin, 35, sebelum diberitahu suami dan anak perempuannya maut dirempuh lori.

Che Wan Kamsah berkata, dia terkejut apabila menerima SMS puitis itu dari suaminya, Roslan Osman, 35, berikutan mangsa tidak pernah menghantar kiriman sebegitu sejak mendirikan rumah tangga 15 tahun lalu.


Lebih menyedihkan apabila ayat-ayat cinta itu dihantar beberapa minit sebelum mangsa dan anak perempuan mereka, Puteri Nurul Najwa Roslan, 12, menemui ajal dalam kemalangan malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam di Kilometer 4, Jalan Seri Manjung-Segari berdekatan Kampung Sungai Rumput, di sini, dua beranak itu bersama seorang lagi mangsa, Ainuddin Abd Wahab, 15, maut apabila kereta dinaiki mereka bersama dua lagi mangsa dirempuh lori.


Ainuddin yang juga anak saudara Roslan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, manakala dua lagi mangsa yang juga jiran arwah cedera.


Che Wan Kamsah yang ditemui di rumah mentuanya di Kampung Permatang Raja, Pantai Remis, dekat sini, semalam berkata dia terkejut menerima SMS berkenaan kerana arwah tidak pernah mengirim SMS seperti itu.

“Saya tidak menyangka SMS itu petanda akan kehilangannya. Saya akan menyimpan SMS itu selain menjadi pengubat rindu.


“Saya dan arwah sebelum ini ada sedikit pertengkaran menyebabkan saya terpaksa pulang ke rumah ibu di Sungai Siput bersama anak sulung kami berusia 15 tahun,” katanya.

Katanya, malah, petang hari kejadian, arwah menghubunginya supaya pulang segera ke Pantai Remis kerana rindu untuk bertemunya.

Che Wan Kamsah berkata, dia tidak menyangka kepulangannya untuk menemui arwah dan Puteri Nurul Najwa semalam bertukar hiba apabila hanya menatap jenazah mereka.

Menurutnya, arwah ditemani anak dan tiga yang lain dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membuat pemeriksaan penyakit batu karang di Hospital Seri Manjung (HSM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, kejadian berlaku apabila Perodua Kancil dinaiki lima mangsa itu bertembung sebuah lori tiga tan.

“Siasatan mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa yang datang dari Seri Manjung bertembung lori dari arah bertentangan selepas pemandunya gagal memotong sebuah kenderaan di hadapan.

“Pertembungan kuat itu menyebabkan dua penumpang kereta Kancil berkenaan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HRPB,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: myMetro
              Utusan Malaysia

Terjunam ke Laut


Wang loteri terjun laut

Oleh Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my

BUTTERWORTH: Kegembiraan lima sahabat untuk meraikan wang loteri yang dimenangi berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke laut dekat Dermaga Bagan Dalam di sini, awal pagi semalam.

Sebelum kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam itu, lima lelaki terbabit dari Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah ke pekan Bukit Mertajam untuk meraikan kejayaan dua rakan mereka memenangi wang loteri.

Mereka dipercayai mengambil minuman keras sebelum pulang dengan sebuah kereta dipandu seorang daripada mereka yang berusia 24 tahun.

Kereta dinaiki mereka melalui laluan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Pulau Pinang, namun pemandunya dipercayai tersilap haluan apabila memasuki susur ke Dermaga Bagan Dalam milik Penang Port Sdn Bhd (PPSB).

Difahamkan, kereta dinaiki lima lelaki terbabit meneruskan perjalanan ketika sampai di pos kawalan dermaga berikutan penghadang di laluan masuk rosak dan sedang dibaiki.

Bagaimanapun, kereta berkenaan dikatakan gagal berhenti, malah pemandunya memecut ke arah pelabuhan sebelum terjunam ke dalam laut yang dianggarkan sedalam kira-kira sembilan meter.


Sumber: myMetro

Potong Lori Rempuh Motor



Inalillahi wainailaihi rojiun

RAUB – Seorang pemuda maut sementara rakannya koma selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan kenderaan jenis Proton Persona dalam kejadian kemalangan di Kilometer 345 Jalan Kuala Lumpur – Kota Bharu, dekat persimpangan Taman Kurnia Jaya, di sini, kelmarin.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 6 petang mengakibatkan trafik sesak dari kedua-dua arah untuk seketika.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila kenderaan Proton Persona dipandu dari Lipis cuba memotong lori di hadapannya.

“Kereta itu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal ditunggangi mangsa, Muhammad Bailhaqi Mustafa, 20, bersama rakannya.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa bersama rakan tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah terutama di bahagian kepala,” katanya.

Mohd Nazlan berkata, orang ramai membantu mangsa dengan membawa mereka ke hospital, tetapi Muhammad Bailhaqi disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Raub, manakala pembonceng dirujuk ke Hospital Temerloh.

Katanya, pemandu kereta dari Kelantan bersama penumpang yang hendak ke Bangi, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika kejadian, keadaan jalan kering, manakala cuaca cerah dan pemandu kereta Persona ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian difahamkan Muhammad Bailhaqi berasal dari Tanjung Besar, Lipis dalam perjalanan pulang selepas menikmati jamuan bersama rakan-rakannya di sebuah restoran makanan segera dekat Bandar Raub Perdana.

Ketika kejadian, terdapat juga bekas makanan pecah dan bertaburan di atas jalan dipercayai ingin dibawa pulang untuk dinikmati ahli keluarganya.

Jenazahnya dituntut ahli keluarga di Hospital Raub untuk disempurnakan dan dikebumikan di kampungnya.

Sumber: SH

Rentung bersama Satria


Inalillahi wainailaihi rojiun

JOHOR BAHRU: “Tolong, tolong, tolong!” Itu rintihan Nor’Izah Abdullah Omar, 46, kepada rakan sepejabat yang dihubunginya sebelum dia rentung apabila kereta dipandunya terbakar selepas terbabas di Kilometer 29.9, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), arah Senai ke Nusajaya di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Izah yang berasal dari Taman Desa Idaman, Senai, memandu Proton Satria yang hilang kawalan di tempat kejadian dan terbalik ke dalam longkang sebelum terbakar.

Lokasi kemalangan itu kira-kira 10 minit dari pejabat Izah.

Izah sempat menghubungi rakan sepejabatnya, Rohimi Tahir, 38, sebanyak empat kali sejurus kemalangan itu, tetapi lelaki berkenaan tidak menyedarinya.

“Saya tidak menyedari panggilan masuk berkenaan dan terus ke hospital apabila dimaklumkan rakan sepejabat berkaitan kemalangan menimpa Izah.

“Ketika itu saya dimaklumkan seorang rakan sepejabat saya sempat menjawab panggilan Izah yang menjerit perkataan ‘tolong’ sebelum ia terputus beberapa saat kemudian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Kulaijaya.

Menurut Rohimi yang juga penyelia di syarikat perkapalan di Senai, rakan sepejabat mereka itu cuba menghubungi semula Izah, tetapi gagal.

“Saya kecewa kerana tidak menyedari panggilan berkenaan, ketika itu Izah mungkin cuba menyelamatkan diri.

“Mungkin Izah kemudian menghubungi pejabat untuk mendapatkan bantuan selepas gagal menghubungi saya,” katanya.

Pada masa sama, Rohimi berkata, Izah yang juga kerani menunjukkan perubahan sikap ketara sejak dua bulan lalu apabila wanita berkenaan meluahkan hasrat untuk pergi bercuti dan meminta rakan sepejabatnya mencadangkan pusat peranginan sesuai.

Curiga Rohimi bertambah selepas Izah kelihatan gembira serta hadir ke semua majlis rumah terbuka rakan sepejabat.

“Dalam keadaan bergurau dan nada bersahaja, Izah berkata ‘kalau boleh aku nak pergi bercuti ke tempat yang tak perlu balik’ menyebabkan kami kurang senang dengan gelagatnya itu,” katanya. Sementara itu, ibu angkat Izah, Hasman Mohd Zain, 84, berkata, dia reda dan menyifatkannya sebagai ketentuan Ilahi.

Menurut Hasman, Izah tidak berkelakuan pelik sebaliknya memeluk dan menciumnya seperti biasa sebelum ke tempat kerja.

“Izah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, pada masa sama, Izah kerap mengadu Proton Satria dibelinya sejak enam bulan lalu itu kerap rosak dan bercadang menghantarnya ke bengkel hari ini (semalam). Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian,” katanya.


Izah yang juga ibu tunggal mempunyai dua anak iaitu seorang lelaki dan perempuan berusia 20 serta 21 tahun, kedua-duanya kini tinggal bersama bapa mereka di Kuala Lumpur.

Jenazah Izah dituntut keluarga sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Saleng, petang semalam.
Al-Fatihah

Sumber: myMetro
             tv3

Thursday, September 29, 2011

Cermin Gelap Terdedah Kemalangan


TINJAUAN dilakukan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) beberapa bulan lalu menunjukkan banyak kereta persendirian di Pulau Pinang bercermin gelap. Kami percaya kebanyakan pemandu ini diyakinkan oleh kedai aksesori kereta supaya memasang cermin gelap. Tingkap penting untuk melindungi penumpang daripada panas terik matahari. Ia menapis sinaran ultra ungu menjadikan pemanduan lebih selesa.

Bagaimanapun, kenderaan bercermin gelap lebih mudah terdedah kepada perlanggaran bahagian belakang. Cermin gelap cenderung menghalang pandangan lebih jauh pada keadaan lalu lintas. Kereta di belakang juga tidak mampu bertindak segera terhadap halangan di jalan raya serta lambat untuk bertindak terhadap sebarang situasi.

Kecekapan mereka dalam membrek juga lemah dan kenderaan bercermin gelap sering dilanggar dari belakang. Ini adalah alasan kenapa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah meluluskan atau memperakui sebarang produk cermin gelap.
Paras cermin gelap yang dibenarkan hanya 70 peratus (cermin depan) dan 50 peratus (cermin belakang dan tingkap tepi).

Sehubungan itu, CAP menggesa Bahagian Penguatkuasa JPJ supaya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang memasang tingkap dengan cermin gelap.

Kedai aksesori yang menyediakan perkhidmatan itu juga perlu dikawal dan didaftarkan dengan JPJ dalam usaha untuk memastikan pemilik kedai mematuhi undang-undang.

SM MOHAMED IDRIS, Presiden,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Sumber: Berita Harian

Sempat Mengajar Melafazkan Kalimah Syahadah

Inalillahi wainailaihi rojiun


JEMPOL: “Ketika memangku ibu dalam ambulans, saya sempat mengajarnya melafazkan kalimah syahadah sebelum menyedari tangannya terlalu sejuk.

“Sejurus tiba di klinik, hati saya remuk apabila doktor memaklumkan arwah sudah meninggal dunia,” kata Lilipitriama Ismail, 19, anak kepada pasangan suami isteri yang terbunuh dalam kejadian langgar lari di Felda Palong 13, dekat sini, semalam.

Perjalanan Ismail Amin, 55, dan isteri, Siti Hendon Andang, 50, untuk menjalani rutin harian sebagai penoreh berakhir tragedi memilukan apabila motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan dipercayai lori di kawasan berkenaan, kira-kira jam 7.20 pagi.

Menurut Lilipitriama yang bakal menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dia ketika itu dalam perjalanan ke sekolah dan terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada ibu angkatnya memaklumkan kemalangan itu.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati ayah sudah tertiarap atas jalan dengan kepala berlumuran darah. “Saya melihat keadaan ibu dan memangkunya dalam ambulans yang mahu menuju ke klinik berdekatan untuk rawatan. Namun, sejurus tiba, doktor mengesahkan ibu sudah tiada,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.


Katanya, kali terakhir dia melihat wajah ibunya kelmarin sebelum keluar dari rumah untuk tinggal bersama ibu angkat yang juga guru di sekolahnya. “Pada waktu itu, saya mendapati ibu terlalu gembira dan riang berbanding biasa selain sempat memeluk saya begitu erat.

“Saya tidak menyangka ia petanda akan kehilangan kedua-dua ibu bapa serentak buat selama-lamanya,” katanya sebak.

Menurutnya, dia reda dengan kejadian yang berlaku dan akan meneruskan kehidupannya bersama dua adik-beradik lain iaitu kakak, Liahisma Tusdiana, 22, dan adiknya, Julainormala, 13.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Suzuki dalam perjalanan dari rumah mereka di Felda Palong 13 untuk ke sebuah ladang getah di kawasan berkenaan.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dilanggar sebuah kenderaan dipercayai lori dari arah bertentangan.

“Perlanggaran itu menyebabkan pasangan suami isteri itu terjatuh atas jalan manakala pemandu kenderaan itu melarikan diri.

“Pemeriksaan mendapati seorang daripada mangsa iaitu penunggang motosikal mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan manakala pemboncengnya yang juga isteri mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Palong 9 tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa yang mempunyai tiga anak perempuan itu dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat.

Kata jurucakap itu, siasatan kejadian itu masih dijalankan terutama mengenal pasti pemandu kenderaan yang melarikan diri.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di talian 06-4582222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 13, petang semalam... Al-Fatihah

Sumber: myMetro

Maut Ketika Ambil Anak di Matrikulasi

  Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA BHARU - “Saya rasa ralat, bersalah dan sayu apabila bapa yang amat disayangi maut ketika mengambil saya pulang dari matrikulasi di Kedah,” kata anak kepada mangsa kemalangan, Nurul Isma, Ismail, 19.

Bapanya, Ismail Omar, 65 maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta rakannya akibat terlanggar pokok di Kilometer 50, Jalan Kota Bharu- Machang-Jeli kira-kira jam 12.30 tengah hari, Selasa lalu.

Nurul Isma berkata, semasa kejadian, dipandu rakan bapanya, Salahudin Salim, 50-an dipercayai cuba mengelak daripada sebuah kenderaan yang memotong keretanya lalu terlanggar pokok.

“Saya tidak sempat melihat kereta lain itu memotong kerana saya tertidur semasa perjalanan balik ke kampung, namun saya sempat tersedar dan melihat kereta yang saya dinaiki melanggar pokok secara tiba-tiba.

“Arwah Abah duduk di sebelah pemandu, dia juga tidur ketika kejadian dan selepas kemalangan, saya sebak mendengar dengus nafasnya yang kuat, cakapnya meracau-racau dan hidungnya dipenuhi darah,” katanya kepada Sinar Harian, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, semalam.

Beliau berkata, sebaik sahaja kemalangan, arwah dibawa ke HUSM dan disahkan meninggal dunia di Wad 2 Intan kira-kira jam 3 pagi semalam akibat mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

Dalam kejadian berkenaan, kereta tersebut membawa empat penumpang termasuk arwah, rakan bapa (pemandu), Nurul Isma dan adik bongsunya, Azrul Hisham, 15, namun penumpang lain termasuk pemandu hanya mengalami kecederaan ringan.

Kata Nurul Isma, arwah bapanya tidak sempat melihat impian untuk melihat anaknya (Nurul Isma) menyambung pengajian ke peringkat tinggi dan menjadi seorang peguam kelak.

“Rasanya beliau (arwah) orang paling bangga apabila saya layak menyambung pengajian dalam bidang Asasi Undang-undang, beliau teruja untuk menjemput saya sebaik sahaja tamat matrikulasi,” katanya yang pernah belajar di Matrikulasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah.

Menurutnya, semasa dalam perjalanan dari Kedah ke Kelantan, bapanya kelihatan sangat gembira, malahan banyak kali mempelawa kedua-dua anaknya supaya menambah nasi semasa singgah makan.

Sementara itu, isteri mangsa, Che Esah Che Mat, 59, berkata, arwah suaminya ada menunjukkan perubahan termasuk tidak membenarkan isterinya ikut serta mengambil anaknya di Kedah.

“Arwah tidak benarkan saya pergi, dia kata cukuplah dia sahaja yang pergi untuk mengambil Nurul Isma yang baru sahaja habis belajar di matrikulasi.

“Saya rasa pelik dan tertanya-tanya mengapa saya tidak boleh ikut sekali, tetapi saya tidak mahu pertikai, lagipun masih ada dua anak (darjah lima dan tiga) yang bersekolah,” katanya.

Isterinya berkata, semasa meraikan hari raya baru-baru ini, arwah teruja membeli minyak tanah dan memasang pelita di sekeliling rumah.

“Biasanya, pada hari raya sebelum ini, dia membenarkan anak-anak memasang pelita, tetapi raya kali ini, dia yang beli minyak tanah dan memasang pelita itu,” katanya.

Arwah yang berasal dari Kampung Air Belaga, Machang adalah penoreh getah pada tanah pajak dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol Judah, Machang selepas solat Asar, semalam.


Al-Fatihah..

Sumber: SH

Padah Tayar Treler Tercabut


HULU SELANGOR 28 Sept. - Seorang lelaki maut akibat cedera parah setelah treler dipandunya merempuh belakang sebuah treler lain yang terbabas ke lorong kecemasan gara-gara tayarnya tercabut dalam kejadian di Kilometer 410.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Lembah Beringin di sini malam tadi.


Kemalangan berlaku pukul 9.30 malam itu turut mengakibatkan seorang lagi pemuda mengalami cedera parah selepas tercampak dari motosikal yang ditunggangnya ketika cuba mengelak daripada melanggar tayar treler yang tercabut itu.


Mangsa, Wong Chon Lam, 49, yang memandu treler membawa minyak pelincir gagal mengelak daripada merempuh belakang treler membawa muatan penyejuk radiator yang terbabas ke lorong kecemasan setelah tayar belakang sebelah kanannya tercabut.

Rempuhan kuat itu menyebabkan Chon Lam mengalami cedera parah dan maut akibat tersepit di tempat duduk.




Sebelum itu, seorang pemuda, Mohd. Razi Hassan, 30-an, tercampak dari motosikalnya semasa mahu mengelak daripada melanggar tayar treler yang tercabut dan terjatuh atas jalan.

Mohd. Razi yang ketika itu dalam perjalanan dari Petaling Jaya dekat sini ke kampungnya di Trolak Timur, Perak, mengalami kecederaan parah termasuk patah kedua-dua belah kakinya.

Mayat Chon Lam dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat, manakala Mohd. Razi dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Sumber: Utusan Malaysia
              tv3

Wednesday, September 28, 2011

Bas Leper Dalam Gaung 31 Pelajar Pakistan Maut


ISLAMABAD 27 Sept. - Sekurang-kurangnya 31 orang pelajar sekolah dan empat orang dewasa terbunuh apabila sebuah bas yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di wilayah Punjab, hari ini.
Sebanyak 55 yang lain cedera dalam kemalangan di daerah Chakwal, tenggara Pakistan, kata polis.

Ketika kejadian, bas yang membawa murid-murid dari sebuah sekolah swasta sedang dalam perjalanan pulang daripada rombongan difahamkan terbabas lalu terjunam ke dalam gaung.

Pegawai kanan polis, Chaudhry Salim berkata, punca kemalangan dipercayai kerana kegagalan brek.
Tambahnya, pemandu, pembantu pemandu dan penolong pengetua sekolah itu merupakan antara yang terkorban. - AFP



At least 37 children die as Pakistan school bus is crushed like a pancake

At least 37 school children, two teachers and the deputy head have been killed in a bus crash in Pakistan.

The children, all between the ages of 12 and 14, died when the bus overturned on a motorway and plunged into a ditch while returning from a school trip. Another 47 pupils and teachers were seriously injured.

The accident happened in Kallar Kahar, around 100 miles east of the capital Islamabad, after the school party had visited a salt mine.

The driver is said to have lost control of the bus near Salt Range when the brakes failed, the Pakistan Daily Times reported.

More than 100 children from the Millat Grammar School in Faisalabad were aboard the bus.




Twenty of them died at the scene, the others died later in hospital, mainly from loss of blood, a hospital source told the Pakistan Observer.

One of the rescuers, Kamran Rasheed, told Dawn.com that the vehicle had to be cut open so the bodies of the victims and the injured could be taken out.

Pakistan has one of the world's worst records for fatal traffic accidents, blamed on poor roads, badly-maintained vehicles and reckless driving.

Kallar Kahar is a sub-division of Chakwal District in Punjab and is known as a popular tourist destination.



VIDEO



Sumber: Utusan Malaysia
             Daily Mail

Kemalangan Treler Dan Lori

KULAIJAYA – Seorang lelaki maut setelah lori dipandu terbabit dalam kemalangan di kilometer 55, Jalan Johor Bahru-Air Hitam berdekatan dengan Masjid Bukit Batu, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Zulkefly Yahya berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi itu, menyebabkan mangsa, Rajendran Verippan, 34 maut di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian didapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang dalam perjalanan dari Melaka ke Singapura dengan membawa muatan plastik, masuk ke arah laluan :bertentangan dan bertembung dengan lori yang dipandu mangsa.

"Akibat pertembungan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler dilaporkan kritikal dan telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian.

Kemalangan itu turut menyebabkan kira-kira 200 kenderaan dari kedua-dua arah laluan terperangkap selama kira-kira dua jam setelah laluan terpaksa ditutup sebelum lori treler yang menghalang kedua-dua laluan di tarik keluar dari lokasi kejadian.

Salah seorang penduduk, Mohd Syafiq 17, berkata, dia terjaga daripada tidur setelah terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya berhampiran rumahnya dan bergegas ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan berlaku.

“Sebaik tiba, saya dapati pemandu lori treler telah terbaring di bahu jalan dan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

“Manakala pemandu lori ikan (Rajendran) sudah terkulai dan tersepit di tempat duduknya,” katanya.

Mohd Syafiq berkata, akibat kejadian itu dia dan beberapa rakannya yang tinggal di kawasan berhampiran tidak dapat hadir ke sekolah setelah bas untuk mereka ke sekolah tidak dapat memasuki kawasan itu.

Sumber: SH

Kereta Terbabas Rempuh 3 Motosikal



PEKET 100 – Malang tidak berbau apabila tiga penunggang motosikal yang sedang memberhentikan motosikalnya sebelum melintas jalan, di sebuah simpang dekat Peket 100, Simpang Lima, di sini, dirempuh sebuah kereta yang terbabas ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dua daripada tiga penunggang motosikal terbabit meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

“Mangsa, Norameen Miskam, 23, yang meninggal dunia serta merta di tempat kejadian turut mengalami patah kaki kanan, manakala Muhammad Nasrullahnaim Mohd Soab, 18, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah,” katanya.

Mangsa, Norameen yang bekerja kampung dipercayai dalam perjalanan untuk bekerja, manakala Nasrullahnaim, dalam perjalanan ke Pusat Giat Mara, Sungai Besar.

Sementara itu, seorang lagi penunggang tidak mengalami kecederaan apabila sempat melompat daripada motosikalnya apabila menyedari kereta berkenaan terbabas ke arahnya.

Noor Mushar berkata, pemandu kereta, seorang wanita berusia 39, dalam perjalanan dari Sekinchan ke Sungai Besar selepas menghantar anaknya ke sekolah.

“Pemandu dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan ketika cuba mengelak sebuah motosikal dari arah sama dan bergesel dengan motosikal dari arah bertentangan yang ditunggangi pekerja Pos Malaysia, Nor Kahhar Mohamed, 24.

“Kereta itu kemudiannya terbabas ke bahu jalan dan merempuh tiga lagi motosikal yang sedang berhenti di simpang berhampiran untuk melintas jalan serta terjunam ke dalam parit. Walau bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan sementara Nor Kahhar patah tulang jari,” katanya.

Mayat mangsa di bawa ke HTAJ untuk bedah siasat dan jenazahnya dituntut keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Haji Dorani, selepas Asar, semalam.

Sumber: SH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my